PETALING JAYA: Seramai 373 daripada 945 calon kerusi Parlimen hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jumlah itu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Turut hilang deposit ialah bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).
Selain itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut hilang wang deposit apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun manakala Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Marzuki Yahya tewas di Sungai Petani kepada Pakatan Harapan (PH).
Di Parlimen Port Dickson, pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah turut mengalami nasib yang sama.
Parlimen Batu menyaksikan lapan daripada 10 calon bertanding hilang wang pertaruhan termasuklah bekas penyandang kerusi, Tian Chua, Datuk A Kohilan Pillay (Barisan Nasional), peguam Siti Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau juga dikenali Cleopatra.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan 129 daripada 441 calon yang bertanding dalam tiga pilihan raya negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak hilang wang deposit.
Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon kerusi Parlimen perlu mempertaruhkan wang deposit RM10,000 dan RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Wang depositi tersebut dikira hangus jika calon yang bertanding mendapat di bawah satu perlapan daripada undi di kawasan berkenaan. – UTUSAN










