Dakwaan belanja bahan kempen lebih had, pembangkang tiada isu - Utusan Malaysia

Dakwaan belanja bahan kempen lebih had, pembangkang tiada isu

MOHAMAD Hasan beramah mesra dengan orang ramai ketika beliau mengunjungi Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap pembangkang sudah ketiadaan isu sehingga cuba mengaitkannya berhubung perbelanjaan bahan kempen seperti papan iklan (billboard) dan bendera.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata, beliau tidak mengetahui perkara tersebut boleh menjadi isu malah menjelaskan perbelanjaan beliau ketika ini masih di peringkat awal dan melibatkan perbelanjaan yang sedikit.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada pihak yang membantu dalam urusan kempen termasuk berkaitan pemasangan billboard dan bendera.

“Saya baru keluarkan sedikit untuk belanja pilihan raya, billboard itu rakan-rakan saya mahu membantu, bukan saya buat, ada yang mahu bantu buatkan bendera, buatkan billboard, air mineral, itu bukan perbelanjaan saya.

“Perbelanjaan saya baru untuk bayar makan budak-budak (jentera) dan perbelanjaan di bilik gerakan.  Saya tidak tahu ia menjadi isu, ada yang mahu membantu, saya tidak menegah malah mengalu-alukan siapa-siapa yang mahu membantu Alhamdulillah, bukan jentera sahaja yang membantu secara sukarela tetapi kawan-kawan juga banyak membantu.

“Ini tanda mereka tiada isu lagi, saya sudah cakap awal, saya minta kepada jentera, kita kempen secara sihat, kita cuba menyantuni seramai mungkin pengundi. Mari kita berkempen secara sihat, minta orang yakin kepada kita dan tunjuk kepada mereka, kenapa mereka perlu sokong kita, bukan cuba mencari kesalahan orang,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan orang ramai di Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar di sini hari ini.

MOHAMAD HASAN

Hari ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini, bagi memohon pihak berkuasa itu serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat siasatan ke atas parti lawan yang didakwa mereka melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Cabang Keadilan Cabang Rembau, Mohd. Hafiz Mohamad berkata, laporan tersebut dibuat terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Menurut Mohd. Hafiz, pihaknya mendapati kedua-dua parti berkenaan memasang terlalu banyak papan iklan dan bendera parti di seluruh kawasan Parlimen Rembau.

“Jumlah bahan kempen yang dipasang tersebut adalah sangat melampau terutamanya di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi. Pemantau kami yang bergerak di setiap DUN mendapati lebih 50 papan iklan bersaiz 10×30 kaki dan 20×40 kaki dipasang di jalan besar Kota (Rembau) ke Sendayan.

“Kami mengesyaki bahawa kedua-dua parti ini berbelanja lebih daripada RM200,000 hanya untuk bahan-bahan kempen ini. Ini melebihi had perbelanjaan yang dibenarkan Seksyen 19(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya