Anwar paling layak jadi PM -Kit Siang

Anwar paling layak jadi PM -Kit Siang

LIM Kit Siang (dua dari kiri) berucap pada program 'kopitiam talk' di Kampar hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim paling sesuai dan layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 berbanding pemimpin parti lain.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana Anwar memahami dan menghargai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Menurutnya, Presiden PKR itu juga berkemampuan untuk memulihkan ekonomi Malaysia selepas negara jatuh menjadi negara kelas kedua.

“Anwar mempunyai stamina untuk membawa Malaysia kembali kepada prinsip asas kemerdekaan. 

“Malaysia adalah negara masyarakat majmuk bukan masyarakat Melayu sahaja. Kali ini kita akan menyatukan semua kaum dan agama. 

“Menyelamatkan negara bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh lima tahun, ia mengambil masa 20 hingga 30 tahun atau ia boleh dicapai apabila Malaysia berusia 100 tahun untuk menjadi antara negara terbaik di dunia.  

“Saya akan pergi pada masa itu, tetapi anak-anak dan cucu-cucu kita akan tetap berada di sini,” katanya kepada pemberita pada program kopitiam talk di sini hari ini.

Menurutnya, PH perlu menang 80 hingga 90 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk sebuah kerajaan dan menjadikan Anwar seorang Perdana Menteri. 

Katanya, PH juga perlu menang lebih banyak kerusi Parlimen untuk membentuk satu kerajaan yang kukuh.

“Kalahkan UMNO dan dapatkan 80 hingga 90 kerusi Parlimen untuk PH membentuk kerajaan bersama Sabah dan Sarawak. 

“Semua ini bergantung kepada jumlah undi. Jika kita dapat jumlah undi yang tinggi, kita boleh menang dan menjadikan Anwar sebagai  Perdana Menteri Malaysia,” katanya. 

Kit Siang berkata, negara memerlukan peratusan pengundi yang tinggi keluar mengundi untuk mewujudkan tsunami politik seterusnya menumbangkan UMNO dan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk memimpin Malaysia.

Menurutnya, sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu keluar beramai-ramai mengundi pada 19 November ini.

“Jangan biarkan Malaysia beralih daripada  negara kelas dua kepada negara kelas tiga, berikan anak-anak anda kehidupan yang lebih baik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN