SEREMBAN: Tanaman nanas menjadi sumber ekonomi baharu di Negeri Sembilan selepas keluasan tanaman komoditi pertanian itu meningkat dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Alias berkata, sehingga tahun tahun lalu, negeri ini merekodkan keluasan sebanyak 222 hektar kawasan tanaman nanas yang melibatkan seramai 278 orang usahawan berdaftar.
“Berdasarkan data terkini, keluasan penanaman meningkat sebanyak 165.87 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan 551 ekar yang melibatkan seramai 278 usahawan berdaftar.
“Ini petanda bahawa nanas bukan sekadar tanaman komoditi tetapi sumber ekonomi baharu yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Sembilan 2026 di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh industri nanas sebagai salah satu tonggak ekonomi baharu negeri itu.
Katanya, daerah Kuala Pilah mendominasi penanaman nanas dengan keluasan 68 hektar, diikuti Rembau (36.48 hektar), Jelebu (28.84 hektar), Port Dickson (26.36 hektar), Seremban (25.22 hektar), Jempol (18.44 hektar) dan Tampin (17.09 hektar).
“Industri nanas tidak boleh bergerak secara bersendirian. Ia perlu disokong dengan pembangunan produk hiliran seperti jus, puri dan produk berasaskan nanas bagi menjamin kestabilan harga dan pulangan kepada pengusaha,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada LPNM negeri agar membangunkan kilang pemprosesan produk berasaskan nanas dalam tempoh tiga tahun. – UTUSAN










