50 kerusi Parlimen kritikal - Utusan Malaysia

50 kerusi Parlimen kritikal

Pemerhati politik meramalkan terdapat 50 kerusi parlimen kritikal dan memerlukan kempen lebih agresif pemimpin-pemimpin parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas se­minggu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), terdapat kira-kira 50 kerusi parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara dikategorikan sebagai kritikal tanpa ada tanda-tanda jelas untuk dimenangi mana-mana parti atau gabu­ngan politik.

Kedudukan itu memaksa calon-calon yang bertanding me­minta bantuan daripada nama-nama besar dalam parti untuk turun berkempen dalam tempoh yang berbaki enam hari lagi.

Kerusi-kerusi tersebut dika­tegorikan kritikal selepas ada kawasan yang dahulunya dikira selamat mula goyah ketika memasuki pusingan pertama kempen yang antaranya dipengaruhi faktor pemilihan calon atau stra­tegi parti selain mereka sukar menepis serangan bertalu-talu pihak lawan.

Susulan itu, kempen hari-hari terakhir pada pusingan pertama menyaksikan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) mula menurunkan pemimpin-pemimpin besar ke kerusi-ke­rusi yang mula dilihat kritikal untuk dimenangi.

Di Perlis, tiga kerusi parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau yang sebelum ini dilihat milik BN mulai goyah apabila dua nama besar iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin, masing-masing bertanding atas tiket PN dan bebas.

KEMPEN

Kedua-dua tokoh politik dominan itu kini berhabis-habisan menggerakkan kempen melawan BN. Malah BN juga berdepan masalah sama membabitkan beberapa kerusi sebelum ini dianggap selamat tetapi bertukar kritikal apabila tercetus kekecewaan akar umbi kerana penyandang tidak dicalonkan seperti Parlimen Ketereh, Jempol, Maran dan Gerik.

Keadaan sama melanda beberapa kerusi ditandingi PH seperti Parlimen Sungai Buloh, Sungai Petani, Permatang Pauh, Lembah Pantai, Titiwangsa, Bentong dan Simpang Renggam.

Faktor dialami PH juga sama iaitu jentera tidak puas hati dengan calon dipilih, pertembungan nama-nama besar parti lawan selain persaingan lebih empat penjuru menipiskan peluang kekal menang.
PN juga tidak terkecuali dan kerusi-kerusi dianggap kritikal melibatkan kerusi Tambun, Gombak, Masjid Tanah, Pagoh, Jasin, Bukit Gantang dan Tasek Gelugor.

Kesan perubahan itu menyebabkan jentera PN yang terdesak mula mencari pe­mimpin utama untuk turun padang membantu calon.

Bagaimanapun, situasi se­perti ini tidak berlaku di Sabah dan Sarawak apabila persaingan di kedua-dua negeri tersebut tidak sengit kecuali beberapa kerusi seperti Beluran, Bintulu, Lubuk Antu dan Saratok serta Batang Lupar apabila PN berani meletakkan calon sekali gus menyebabkan wujudnya pertembungan lebih tiga penjuru.

TURUN PADANG

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, pemimpin BN khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku poster boy dilihat agresif turun padang ke seluruh negara kerana kemungkinan melihat tinjauan awal yang tidak menyebelahi mereka.

Menurut beliau, paling ke­tara apabila berlaku krisis BN Perlis secara tidak langsung membuka ruang kepada seteru khususnya PN merampas kerusi Arau dan Padang Besar.

“Saya lihat ada kelemahan ketara dalam BN dan tidak seperti pilihan raya umum sebelum ini apabila ada kawasan tidak menggerakkan jentera berkempen sedangkan sudah seminggu kempen bermula.

“Semua masalah ini hanya boleh diatasi dengan sentuhan luar biasa dan kebijaksanaan pemimpin puntuk turun berkempen bagi menarik sokongan dan memujuk kekecewaan akar umbi UMNO gara-gara pemimpin mereka tidak dicalonkan,” kata beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, dalam tempoh se­minggu kempen, belum nampak mana-mana gabungan kuat dan mampu membentuk kerajaan selesa.

PELUANG

“Selepas pusingan pertama apa yang berlaku peluang dilihat sama rata antara 945 calon dan 23 parti yang bertanding merebut 222 kerusi parlimen,” kata beliau.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain juga bersetuju bahawa PH kini menghadapi masalah di Sungai Buloh setelah calonnya, Datuk R. Ramanan berdepan saingan sengit calon BN, Khairy Jamaluddin yang agresif berkempen untuk merampas kerusi itu daripada PKR.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pemimpin utama PH seperti Pengerusinya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli giat menyertai siri jelajah di seluruh negara untuk memberi ‘talian hayat’ kepada calon-calon berisiko tewas.

“Malah PN juga terpaksa menurunkan jaguh-jaguh politik seperti Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamed Azmin untuk kempen di Tambun setelah penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi ditentang Anwar. Selain itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sibuk turun padang di seluruh negara.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bukan sahaja BN, PH dan PN juga sedang memberikan bantuan ‘talian hayat’ di kawasan ditandingi yang mungkin bagi mereka menerima saingan sengit dan berisiko untuk kecundang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×