Zawani komited hafal separuh juzuk seminggu - Utusan Malaysia

Zawani komited hafal separuh juzuk seminggu

NUR ZAWANI Mardhiah Zainal (tengah) diapit bapa, Zainal Zakaria dan ibunya, Munirati Ibrahim pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM dan Hafiz di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Meskipun tiada minat untuk menghafal al-Quran pada awalnya, seorang hafizah, Nur Zawani Mardhiah Zainal, 18, berjaya membuktikan kemampuan diri apabila berjaya menghafal 30 juzuk dalam tempoh lima tahun.

Kata bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Alor Gajah di sini itu, dia mengakui pada awalnya tidak berminat untuk menghafal kitab suci dan pernah berputus asa untuk meneruskannya.

Beliau berkata, dia adalah kumpulan pertama pelajar yang menghafal al-Quran di sekolah berkenaan, maka disebabkan itu mereka kekurangan rujukan modul lantas menambahkan lagi cabaran untuk bergelar hafizah.

“Saya pernah rasa putus asa semasa di tingkatan satu dan hendak keluar saja daripada program tersebut. Bagaimanapun, selepas saya membaca terjemahan al-Quran dan hayati apa yang hendak disampaikan, proses hafazan itu menjadi mudah.

“Sebagai kumpulan pertama kami kekurangan modul untuk dijadikan rujukan. Sebab itu saya dan rakan-rakan kena mulakan modul tersebut dengan bantuan para guru.

“Saya hafal separuh juzuk seminggu dengan 10 kali ulangan bacaan setiap ayat atau surah. Alhamdulillah saya khatam al-Quran ketika berada di tingkatan empat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Hafiz.

Nur Zawani merupakan antara 140 hafiz cemerlang yang diraikan pada majlis itu, menerima RM400 seorang daripada kerajaan negeri atas kejayaan menghafal 30 juzuk al-Quran.

Tambah Nur Zawani, jadual persekolahan yang komprehensif membantunya membahagikan masa antara menghafal al-Quran dan mengikuti pengajian akademik arus perdana.

Katanya, dia mula menghafal al-Quran selepas Solat Subuh sehingga pukul 9.30 pagi dan kemudiannya fokus kepada pembelajaran dalam kelas sehingga pukul 4.30 petang.

“Kelas secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat mencabar. Bacaan al-Quran bersama guru perlu dibuat berulang kali kerana kualiti capaian internet yang tidak memuaskan.

“Selain itu, saya buat jadual sendiri di rumah sama seperti di sekolah. Ini akan memudahkan saya untuk menguruskan masa dengan lebih baik,” ujarnya yang mendap 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN