Zahid kecewa Hadi label kerjasama UMNO-Pas 'durian mentah' -

Zahid kecewa Hadi label kerjasama UMNO-Pas ‘durian mentah’

AHMAD Zahid Hamidi (kiri) memegang keris pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kecewa dengan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan kerjasama kedua-dua parti itu sebelum ini ibarat ‘durian mentah”.

Menurut Ahmad Zahid, adalah tidak wajar untuk melabelkan sesuatu kerjasama, sebuah pertubuhan atau parti politik sama dengan mana-mana haiwan, tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan.

Beliau bagaimanapun berpendapat, ia hanyalah pandangan peribadi Abdul Hadi sahaja dan tidak berhasrat untuk membalas atau membuat kenyataan yang mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya khuatir duri buah durian itu tajam dan siapa yang ada di bawah (pokok) jika kena kepala atau badan, lukanya tajam, jadi jangan main-main dengan durian sama ada yang sudah masak atau belum masak.

“Maka, tunggulah, kalau durian itu terjatuh ke bawah, saya (rasa)(siapa) tidak dapat elak, ia akan terkena kepada seseorang… Faham tidak mengapa, tidak faham pun tidak mengapa,” jelas beliau pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam kuliahnya dua hari lalu yang menganggap kerjasama yang dijalin antara kedua-dua parti itu ibarat “durian mentah” yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun Pas mengambil keputusan enggan bekerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pihaknya percaya akan ada parti lain yang bersedia bekerjasama secara tidak rasmi untuk membentuk majoriti dua pertiga selepas pilihan raya tersebut.

Jelas beliau, pihaknya memerlukan 112 kerusi untuk menang majoriti mudah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka memenangi sekurang-kurangnya 25 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak .

Pada masa sama, jelasnya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama rapat dengan BN Sabah untuk mendapatkan kemenangan selesa kerusi Parlimen di negeri tersebut.

“Walaupun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa mana-mana kerusi dimenangi GRS adalah kemenangan PN, tetapi saya mengira Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah ada formulanya sendiri untuk GRS dan BN bekerjasama bagi menstabilkan politik di negeri itu,” ujar beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat menjadi Perdana Menteri kali ketiga apabila mengumumkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-15.

“Allah kabulkan doa orang dizalimi (ketika Pakatan Harapan memerintah), akhirnya Perdana Menteri yang ada pengalaman 22 tahun apabila kali kedua jadi Perdana Menteri usia pemerintahannya cuma 22 bulan.

“Itupun ada hati lagi untuk menjadi perdana menteri kali ketiga. Cukup-cukuplah… Bukan kita mahu menidakkan umurnya kerana Allah memberikan umur yang panjang untuk beliau melihat bahawa tidak semua kejayaan yang pernah dicipta  menjadi kemajuan atau pembangunan apabila seseorang itu hilang prinsip membela bangsa. 

“Apa yang dilakukan itu membalas dendam akhirnya gabungan parti itu berpecah dari dalam,” ujar beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya