KOTA BHARU: Polis mengingatkan warga Malaysia yang menetap di negara jiran supaya tidak menggunakan pangkalan haram sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November nanti.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mahu warga tempatan itu memasuki negara ini menggunakan pintu masuk sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) iaitu Bukit Bunga (Jeli), Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Rantau Panjang.
Menurut beliau, polis akan memperketatkan penugasan di sempadan sehingga menjelang PRU15 bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik.
“Setakat ini, kita mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebarang perubahan atau pindaan hanya akan dilakukan jika menerima arahan daripada SPR,” kata beliau pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, anggota yang terlibat dengan operasi sempadan akan dikecualikan daripada penugasan PRU15.
Utusan Malaysia pada 19 Oktober lalu melaporkan pegawai dan anggota polis negeri ini sudah menjalani latihan dalam perkhidmatan untuk kali kedua sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Pada masa sama latihan berbentuk simulasi serta seminar turut dilakukan bagi memastikan pegawai dan anggota terlibat berada dalam keadaan bersedia.
Untuk PRU15 seramai 5,000 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran pilihan raya dan keselamatan pengundi.- UTUSAN