Warga emas daftar sambung pengajian di UniSZA -

Warga emas daftar sambung pengajian di UniSZA

M. KHRISHNAN (kanan) dan R. Ramesh merupakan antara pelajar baharu yang mendaftar di UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang warga emas bersama sahabatnya menjadi perhatian apabila mereka mendaftar menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini bagi sesi 2022/2023, semalam.

M. Khrishnan, 77, dan R. Ramesh, 56, mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang selama empat tahun tempoh pengajian.

Khrisnan ketika ditemui berkata, beliau memilih untuk menyambung pelajaran kerana baginya pembelajaran seumur hidup mustahak untuk menjadikannya seorang insan yang berguna dan berwibawa.

“Saya dapat sokongan sepenuhnya daripada isteri dan anak- anak saya yang sanggup berkorban masa demi mencapai cita-cita saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bapa kepada lima orang anak itu yang juga merupakan pesara kerajaan di Jabatan Kerajaan Negeri Pahang telah lama berhasrat untuk mengenggam segulung ijazah dan begitu gembira kerana impian itu bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ramesh pula memilih untuk menyambung pengajian undang-undang di UniSZA kerana ingin menjadi seorang peguam yang bertauliah dan memastikan agar anak guaman memperolehi keadilan yang saksama.

“Saya mahu membantu golongan kurang upaya mendapatkan keadilan dengan mengendalikan kes secara ‘pro bono’.

“Saya telah bersedia untuk meluangkan masa bagi mencapai cita-cita saya di samping memenuhi komitmen keluarga serta memberi inspirasi kepada anak saya yang sedang belajar,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Khrisnan dan Ramesh yang berasal dari Kuantan, Pahang telah memilih untuk tinggal di luar kampus bagi memudahkan pergerakan mereka sekiranya mempunyai urusan keluarga.

Seramai 2,299 pelajar baharu peringkat ijazah sarjana muda mendaftar di universiti tersebut semalam.

Proses pendaftaran tersebut yang diadakan secara bersemuka berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak sebarang jangkitan Covid-19. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN