Wan Saiful ke Tasek Gelugor?

Wan Saiful ke Tasek Gelugor?

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir pasti menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang meskipun pernah menyatakan keinginannya bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

Menurut sumber, langkah tersebut adalah strategi parti untuk mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini disandang Datuk Shabudin Yahya setelah beliau melompat daripada UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Difahamkan kehadiran Wan Saiful ke situ amat dialu-alukan oleh kepimpinan serta ahli Bersatu Bahagian Tasek Gelugor dengan Shabudin juga sudah menyatakan hasrat untuk memberi laluan dan tidak lagi bertanding di kerusi tersebut

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun Wan Saiful banyak bekerja di Kubang Pasu, namun Bahagian tersebut dilihat lemah dengan kepimpinan bahagian juga gagal menubuhkan cawangan mencukupi untuk berkempen dengan efektif.

“Hubungan Bersatu Kubang Pasu dengan parti di peringkat Pusat juga kurang baik. Justeru kepimpinan merasakan Wan Saiful lebih elok diletakkan di kerusi yang mempunyai struktur lebih kemas dan tersusun memandangkan beliau berpotensi menjadi anggota Kabinet sekiranya PN membentuk kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada Khamis lalu, akhbar ini melaporkan, Wan Saiful antara disebut diletakkan di Tasek Gelugor, apatah lagi dengan anggapan Parlimen itu kerusi putih bagi PN.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang merupakan ahli Bersatu Bahagian Kubang Pasu pernah membuat pengesahan mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu pada PRU15 sekiranya direstui pucuk pimpinan.

Pada PRU14, Wan Saiful bertanding di Parlimen Pendang namun mendapat 14,901 undi di kedudukan ketiga di belakang calon Pas, Datuk Awang Hashim yang memperolehi 26,536 undi dan Datuk Othman Abdul Barisan Nasional (BN) yang meraih 20,728 undi.

Mengulas lanjut kata sumber, ketika ini Wan Saiful sudah mula bergerak di Tasek Gelugor termasuk menghadiri Kursus Jentera Pilihan Raya Bersatu di kawasan itu pada 22 Oktober lalu.

“Sebagai bekas ahli Pas, Wan Saiful dianggap calon yang tepat untuk memenangi hati penyokong daripada parti sekutu dalam PN itu. Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang yang turut banyak melaksanakan kerja buat parti dan sering mendekati rakyat di situ, difahamkan akan dicalonkan bagi salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.

“Ini bukanlah satu langkah yang janggal kerana tokoh-tokoh parti lain turut pernah berpindah untuk bertanding di kawasan lain. Tindakan tersebut cuma langkah strategik memperkukuhkan parti dengan Wan Saiful turut dilihat sebagai salah satu prospek untuk menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×