Ustaz mengaku tidak bersalah cedera murid - Utusan Malaysia

Ustaz mengaku tidak bersalah cedera murid

AHMAD Mursyidin Abdullah (kanan) yang dituduh cederakan seorang muridnya dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, di Marang, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TEMGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang guru agama bergelar ustaz mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan salah seorang muridnya ketika Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sini, Julai lalu.

Tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di sini, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa dengan mengangkat dan menghempasnya di atas sebuah kerusi kayu. 

Perbuatan itu mengakibatkan tulang pada kaki kanan mangsa patah.

Ahmad Mursyidin didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah rendah di sini kira-kira pukul 4.15 petang pada 6 Julai lalu.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabi’atul ‘Adawiah Nik Soupy manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan pengadu sepanjang prosiding berlangsung serta tidak boleh terlibat dengan jenayah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang murid patah kaki kanan akibat dihempas di atas kerusi kayu oleh gurunya ketika sesi KAFA pada sebelah petang.

Kecederaan dialami mangsa itu disedari ibunya yang membuat laporan polis pada 8 Julai sebelum tertuduh ditangkap pada 14 Julai. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN