Tukang karut, penyanyi dikir barat Jen Endoro diserang angin

Tukang karut, penyanyi dikir barat Jen Endoro diserang angin ahmar

MOHD. Zin Ismail (kiri) yang terlantar selepas diserang angin ahmar sejak dua minggu lalu menerima kunjungan Zulkepli di rumahnya di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang tukang karut dan penyanyi dikir barat tersohor di negeri ini, Jen Endoro hilang punca pendapatan apabila terpaksa menolak beberapa tawaran untuk membuat persembahan selepas terlantar sakit akibat diserang angin ahmar sejak dua minggu lalu.

Mohd. Zin Ismail, 62, berkata, sejak itu, hidupnya bagai jatuh ditimpa tangga apabila isteri, Rohani Ramli, 46, yang menghidap penyakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

“Saya kini hilang upaya untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga. Pada masa yang sama, saya perlu melunaskan bayaran rumah sewa sebanyak RM450 sebulan.

“Sebelum ini, setiap kali membuat persembahan saya menerima bayaran antara RM200 hingga RM300. Namun, sejak diserang angin ahmar, saya sudah tidak mampu untuk naik ke pentas membuat persembahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan dari Pengerusi Koperasi Dikir Barat Kelantan Bhd Datuk Dr. Zulkepli Mohamad di rumahnya di Kampung Kedai Lalat di sini, semalam.

Mohd.Zin memberitahu, pada masa sama dia perlu menyara anak bongsu berusia 16 tahun yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti.

Katanya, empat lagi anak sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

“Ketika ini, saya memerlukan bantuan kewangan untuk membeli susu dan lampin pakai buang termasuklah rawatan tradisional iaitu mengurut.

“Susu yang saya minum itu hanya mampu bertahan selama empat hari sahaja,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya menerusi talian 0139092190 atau menggunakan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03018021131640 atas nama isteri, Rohani Ramli. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya