KAWASAN Parlimen Marang yang sinonim dengan nama Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan antara kubu kuat Pas di negeri ini yang dilihat sukar ditawan oleh UMNO.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas didapati cukup selesa menguasai kerusi Parlimen itu selama tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun 2008.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod sebelum ini, Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu sebenarnya pernah tewas di Parlimen tersebut pada PRU tahun 1986 dan 2004.
Dalam kedua-dua PRU itu, beliau tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Rahman Bakar yang juga dikenali sebagai ‘giant killer‘.
TEMBUSI
Walaupun dilihat masih sukar untuk menembusi kubu Pas tersebut, UMNO tetap percaya mampu melakukan kejutan merampas semula Marang walaupun dengan majoriti tipis pada PRU15.
Berbekalkan ‘semangat giant killer‘ tersohor di negeri ini, UMNO ingin mengulangi kejayaan menewaskan Abdul Hadi, seterusnya merampas semula kerusi idaman BN itu.
Berdasarkan sokongan rakyat terhadap UMNO yang kembali meningkat terutamanya selepas kegagalan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta situasi politik semasa di negeri ini selepas PRU14, adalah tidak mustahil Abdul Hadi boleh ditumbangkan sekali lagi di Parlimen tersebut.
Malah, UMNO juga tidak kisah siapa calon Pas sama ada mahu mengekalkan penyandangnya, Abdul Hadi atau menampilkan calon baharu bertanding di kerusi itu nanti.
Pada PRU14, Abdul Hadi menang selepas mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot memperoleh 31,795 undi dengan majoriti undi sebanyak 21,954.
Setakat ini, nama calon BN yang disebut-sebut bakal ditampilkan untuk berhadapan dengan Abdul Hadi ialah Ketua UMNO Bahagian Marang yang juga Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.
Nik Dir sebelum ini menegaskan UMNO tidak gentar berhadapan dengan Abdul Hadi atau sesiapa sahaja calon Pas di Parlimen Marang.
Bukan itu sahaja, UMNO turut percaya dapat merampas semula tiga daripada empat kerusi dalam Parlimen Marang iaitu DUN Alur Limbat, Bukit Payung dan Pengkalan Berangan, jika DUN Terengganu dibubarkan.
Kemenangan di tiga DUN tersebut akan menjamin kemenangan BN di Parlimen itu. – UTUSAN










