PUTRAJAYA: Pelaksanaan undi pos tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melainkan kumpulan yang ditakrif mempunyai tugasan mendesak serta perlu berada di tempat kerja pada hari mengundi.
Berdasarkan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, setiap warganegara yang mendaftar sebagai pengundi perlu hadir ke pusat undi untuk mengundi manakala kebenaran mengundi pos terhad kepada pihak-pihak yang diwartakan sahaja.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian. Pos) 2003 jelas menerangkan kategori yang dibenarkan mengundi secara pos selain pengundi luar negara ialah petugas pilihan raya, ahli atau pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selain itu, anggota polis, tentera, petugas media serta anggota dan pegawai sembilan agensi lain yang tidak dapat hadir semasa hari mengundi kerana kekangan tugas.
Dalam hal ini, pelajar IPT tidak ditakrifkan sebagai orang yang mempunyai kekangan untuk hadir semasa hari pengundian memandangkan ia dilaksanakan pada Sabtu, malah telah diberikan pelepasan lima hari untuk pulang mengundi oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pelaksanaan undi pos bukan mudah kerana SPR perlu menguruskan bilangan bahagian pilihan raya yang banyak untuk menghantar kertas undi pos kepada setiap 222 bahagian.
Katanya, jika pelajar IPT diberikan kemudahan undi pos, ia akan mengundang permasalahan dan kesukaran kepada SPR untuk mengendalikan kertas undi melibatkan ratusan ribu pelajar.
Sebaliknya, kata beliau, setiap warganegara sepatutnya mendaftar tempat mengundi berdasarkan alamat tempat tinggal sekarang untuk memudahkan mereka mengundi, bukannya mengikut alamat kampung sebagaimana tertera pada MyKad atau berlainan tempat tinggal.
Justeru, katanya, isu kos untuk pulang ke tempat asal bagi tujuan mengundi tidak timbul kerana lokasi pengundian adalah di mana tempat seseorang itu menetap dan perlu membuat pertukaran alamat MyKad sebelum memohon pertukaran tempat mengundi dengan SPR.
“Bukan senang nak uruskan undi pos kerana bilangan bahagian 222 adalah banyak. Bukan satu tempat undi pos sahaja, justeru ia satu masalah kepada SPR untuk mengendalikannya, tidak semudah difikirkan.
“Apa yang boleh dilaksanakan ialah buat peraturan baharu undi khas, bukan sahaja pelajar tetapi mereka bekerja di Semenanjung tetapi asal Sabah atau Sarawak boleh buat undi khas iaitu dibenarkan undi awal dari hari pengundian biasa,” katanya di sini semalam.
Ab. Rashid berkata, kaedah undi khas boleh dilaksanakan khususnya kepada pelajar termasuk mana-mana pekerja yang berada di Semenanjung tetapi mengundi di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab itu.
Menurut beliau, perkara itu sudah lama dicadangkan dalam Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), namun tidak diambil perhatian kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan undi khas tidak sempat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun SPR boleh mengambil tindakan ini secara serius bagi PRU akan datang kerana suruhanjaya itu mempunyai kebolehan dan kapasiti berbuat demikian.
Menurut beliau, kaedah pelaksanaan undi khas ini telah diamalkan di negara-negara maju bagi memastikan semua dapat mengundi dengan apa cara sekali pun.
Katanya, satu kerugian besar kepada kerajaan melaksanakan Undi 18 tahun dan pendaftaran automatik, tetapi tidak memikirkan kaedah terbaik untuk mereka mengundi.
“Ia satu kerugian besar dan mungkin kehilangan jutaan undi hanya kerana ketiadaan kaedah pelaksanaan pengundian terbaik, sekali gus mengakibatkan peratusan pengundian menurun.
“Kita percaya golongan pelajar yang merupakan kali pertama mengundi teruja mengundi kalau diberikan kemudahan untuk mereka pergi mengundi secara fizikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab. Rashid berkata, kertas undi khas itu boleh dipermudah dengan cara pengundi hanya mengisi nama wakil calon yang ingin dipilih mengikut kawasan bahagian pilihan raya masing-masing.
“Kertas undi khas tidak semestinya mengikut kertas undi biasa, mungkin hanya perlu isi nama calon yang dia mahu. Jadi senang dihantar kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi 18, Tharma Pillai berkata, kerajaan wajar menimbang inisiatif membantu mahasiswa-mahasiswa pulang mengundi dan pentingnya ada rancangan kesiapsiagaan oleh SPR.
Katanya, peratusan tinggi pengundi muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh dijadikan sebagai penanda aras bahawa golongan itu menyedari kepentingan menunaikan tanggungjawab tersebut untuk mencorak pembentukan pentadbiran negara.
“Cabaran besar dan membimbangkan adalah dari segi menggalakkan golongan muda khususnya pelajar IPT pulang mengundi kerana ia memerlukan kos.
“Saya bimbang kita tidak mempunyai dasar yang kukuh dan sokongan untuk menggalakkan serta membolehkan golongan anak muda ini pergi mengundi. Mahasiswa-mahasiswa ini pastinya berdepan dengan pelbagai masalah sekali gus menyebabkan kadar peratusan keluar mengundi golongan ini rendah,” katanya ketika dihubungi, semalam. – UTUSAN










