TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) Perak tidak mahu mencipta masalah baharu dengan meletakan calon ‘payung terjun’ termasuk khabar angin meletakkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di kerusi Parlimen Gerik.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BN tegas bahawa tidak ada calon ‘payung terjun’ di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tak ada, tak ada (calon payung terjun di Gerik). Barisan Nasional tidak akan mencipta masalah baharu.
“Kita selesaikan masalah sedia ada dan jangan mencipta masalah baharu, Insya-Allah tak ada calon payung terjun (di Gerik),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Program Ramah Mesra dengan keluarga K. Devagi sempena Hari Deepavali di Kampung Chengai, Sungkai, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango.
Sebelum ini terdapat ura-ura Asyraf Wajdi mungkin akan bertanding kerusi Parlimen Gerik.
Gerik merupakan kubu kuat UMNO dan parti itu tidak pernah kalah di kawasan tersebut.
Ditanya mengenai spekulasi Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee akan bertanding di Parlimen Gerik, Saarani berkata, DAP boleh mencuba bertanding di Gerik.
“Selamat mencuba,” katanya.
Dalam PRU14, calon BN, Datuk Hasbullah Osman memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti sebanyak 5,528 undi.
Hasbullah meninggal dunia pada 16 November 2020 di Raub, Pahang dipercayai akibat serangan jantung. – UTUSAN