Terengganu lakukan persediaan awal hadapi musim tengkujuh

Terengganu lakukan persediaan awal hadapi musim tengkujuh

JABATAN dan  agensi berkaitan melakukan persiapan awal menghadapi musim tengkujuh di seluruh Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui pelbagai jabatan dan  agensi berkaitan melakukan persiapan awal menghadapi musim tengkujuh di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, antaranya persediaan tersebut ialah mengenal pasti sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan sehingga 147,600 mangsa banjir di semua daerah di Terengganu.

Selain itu, menurutnya, sebanyak 187 stesen pemantauan banjir akan beroperasi di seluruh negeri bagi memberi amaran apabila air sungai mencecah paras bahaya serta tujuh unit kamera dan 21 siren untuk tujuan sama.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dengan kekuatan 360 pegawai dan anggota juga telah bersedia dengan kenderaan pacuan empat roda, bot serta ambulans di lokasi kerap banjir.

“Bagi penyediaan keperluan asas, sebanyak RM2.5 juta disediakan untuk makanan, tikar, tilam, selimut dan kain yang disimpan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, 17 mini depoh serta 149 pangkalan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu menambah, langkah lain diambil kerajaan dengan menyediakan hospital sementara di lapan daerah bagi memudahkan mangsa banjir yang mengami masalah kesihatan untuk menerima rawatan segera.

Di peringkat kepenggunaan, katanya, kerajaan membenarkan peruncit dan pemborong terpilih daerah menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas melebihi jumlah dilesenkan iaitu 30 peratus.

“Langkah-langkah diambil itu dilihat inisiatif segera kerajaan negeri selain langkah jangka panjang seperti projek tebatan banjir, sungai tiruan dan pemuliharaan muara sungai” ujarnya.

Tengku Farok Hussin memberitahu, secara keseluruhan, seramai 16,239 petugas disiapkan untuk membantu mangsa banjir terutama di empat daerah tumpuan, Kemaman, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.

“Namun penduduk di daerah-daerah lain juga tetap diingatkan berwaspada dengan cuaca hujan lebat yang sudah mula turut selain peka dengan arahan terkini pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.