KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki yang selama ini hidup bagai ‘pelarian’ kerana tiada dokumen pengenalan diri sebak apabila menerima MyKad diserahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam.
Mohammad Haffiq Hariry Shah Abdullah, 16, berkata, sejak dilahirkan sehingga semalam hidupnya diselubungi ketakutan mungkin ditangkap pihak berkuasa kerana tiada apa-apa dokumen pengenalan mengenai dirinya.
“Alhamdulillah kini semuanya sudah selesai. Dengan adanya dokumen pengenalan diri termasuk sijil kelahiran dan MyKad saya dapat bergerak ‘bebas’ tanpa ragu-ragu.
“Pada masa sama, saya bercadang untuk mengambil lesen kenderaan bagi memudahkan urusan untuk keluar bekerja sebagai pembantu bengkel,” katanya semasa ditemui pemberita selepas menerima Mykad daripada Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh di Kampung Padang Enggang, di sini semalam.
Mohammad Haffiq berkat, dia tidak mendapat MyKad kerana berdepan `isu keluarga’ malah disebabkan kekangan itu juga dia hanya mampu bersekolah setakat tahun lima sahaja.
Sementara itu, nenek kepada remaja berkenaan, Zainab Hussin, 62, berterima kasih kepada pihak JPN yang mengambil langkah segera untuk membuat sijil kelahiran dan MyKad untuk cucunya itu.
Katanya, sebelum itu pihak pengurusan JPN ada menghubunginya dan pada masa sama berjumpa dengan ibu kandung Mohammad Haffiq yang tinggal di Pahang bagi mendapatkan maklumat lengkap pada minggu lalu.
“Selepas proses itu selesai, JPN memberitahu bahawa dokumen pengenalan diri cucu saya sudah boleh diambil.
Saya juga bercadang untuk berjumpa dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan bulanan kepada Mohammad Haffiq.
“Hal ini kerana dia juga mempunyai masalah pembelajaran, selain perlu melakukan pemeriksaan kesihatannya terlebih dahulu,”ujarnya.- UTUSAN