Tambah penerbangan, kurangkan harga tiket - Utusan Malaysia

Tambah penerbangan, kurangkan harga tiket

WEE KA SIONG (berdiri, empat dari kanan) bersama-sama sebahagian daripada penerima Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM) yang diserahkan di SMK Suria Perdana di Parit Raja, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Syarikat Penerbangan diminta meningkatkan jumlah penerbangan dan tambang murah terutamanya ke Sabah dan Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Malah, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya juga mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membuat pemantauan secara lebih kerap terhadap semua syarikat penerbangan ketika ini.

“MOT juga memohon semua syarikat penerbangan untuk tidak menaikkan harga tiket kapal terbang dalam tempoh PRU-15 terutamanya pada hari mengundi nanti.

“Waktu operasi di lapangan terbang juga boleh dilanjutkan sehingga tengah malam sepanjang tempoh pilihan raya ini,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Batu Pahat dan Progam Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana di Parit Raja, hari ini.

Menurut Ka Siong, syarikat penerbangan perlu berlaku adil kepada pembeli terutamanya golongan mahasiswa yang kebanyakannya memilih membeli tiket pada harga murah.

“MAVCOM perlu menggiatkan pemantauan harga-harga tiket dan jadual penerbangan bagi membolehkan ramai rakyat dapat pulang untuk mengundi.

“Bagi pengangkutan darat pula, MOT memberi jaminan semua bas mencukupi untuk digunakan bagi perjalanan pergi balik sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Kementeriannya meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memberi kelulusan terus kepada syarikat pengusaha bas yang memohon untuk menambah jumlah bas dalam tempoh pilihan raya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN