PETALING JAYA: Memperbanyak jawatan tetap doktor kontrak dan menambah bilangan sekolah antara yang perlu diberikan perhatian dalam manifesto.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, insentif 1,500 jawatan tetap setiap tahun pada masa hadapan belum cukup untuk menggalakkan doktor kontrak kekal dalam sektor kesihatan awam.
Katanya, jumlah tersebut masih rendah berbanding kemasukan kira-kira 5,000 doktor kontrak baharu setiap tahun.
Katanya, pertambahan jawatan tetap pegawai perubatan diperlukan bagi mengelak rakyat menanggung masa menunggu rawatan yang lama di perkhidmatan kesihatan awam akibat kekurangan doktor.
“Tahun ini kira-kira 3,500 doktor kontak dapat perjawatan tetap dan diumumkan 1,500 jawatan tetap (ditawarkan) setiap tahun, tetapi masih tidak cukup sebab 70 peratus (dari 5,000 doktor kontrak baharu setiap tahun) tidak akan dapat jawatan tetap.
“Kita harap paling kurang pun (dapat tambah) 3,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak setiap tahun. Sekurang-kurangnya jumlah itu lebih 50 peratus daripada kemasukan baharu dan yang penting kita mahu mereka kekal dalam sektor kesihatan awam.
“Sekarang ramai (doktor kontrak) keluar pergi buka klinik sebab masa depan di Kementerian Kesihatan tak terjamin. Walaupun tak ada angka yang tepat, tetapi tahun lepas saja 800 doktor kontrak di Selangor keluar, itu baru Selangor dan bukan lagi negeri lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ogos lalu, 4,053 pegawai kontrak berjaya ke jawatan tetap melibatkan 3,215 pegawai perubatan, 438 pegawai pergigian dan 400 ahli farmasi.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, pertambahan sekolah baharu dan bangunan perlu menjadi perhatian utama mana-mana parti politik yang mahu menerajui kerajaan nanti.
Beliau berkata, pertambahan sekolah dapat mengecilkan saiz kelas serta membantu mengatasi lambakan graduan pendidikan yang menganggur.
“Bilangan pelajar ketika ini melebihi 34 ke atas dalam satu kelas disebabkan kekurangan sekolah,” katanya. – UTUSAN










