Syarikat gergasi ‘sedut’ subsidi

Syarikat gergasi ‘sedut’ subsidi

Penternak kontrak kecil-kecilan mendakwa mereka mendapat subsidi 10 sen bagi seekor ayam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa syarikat gergasi ternakan ayam didakwa berkomplot ‘menyem­belih’ penternak kontrak kecil-kecilan dengan mengaut hampir semua peruntukan sub­sidi yang disalurkan kerajaan kepada industri tersebut.

Dengan kadar subsidi 10 sen bagi sekilogram ayam untuk ka­tegori kontrak kecil-kecilan berbanding 70 hingga 80 sen sekilogram bagi kategori persendirian dan bersepadu (integrator), penternak kecil menjangkakan mereka tidak akan mampu meneruskan operasi dalam industri berkenaan.

Sumber persatuan penternak dari dua negeri mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu kertas kerja yang didakwa cadangan penyaluran subsidi mengikut kategori persendirian, bersepadu dan kontrak menunjukkan elemen ‘mera­gukan’ apabila bayaran subsidi kepada penternak ayam kontrak terlalu rendah berbanding untuk kategori persendirian dan integrator.

“Dalam kertas kerja itu, difahamkan bayaran subsidi untuk September kepada penternak persendirian berjumlah 80 sen bagi seekor ayam. Bayaran kepada penternak bersepadu pula, 70 sen.

“Tapi yang peliknya, bayaran subsidi kepada kami penternak kontrak ini pula, cuma 10 sen. Apa sebab penternak persendirian dan integrator dapat sejumlah besar peruntukan, tapi kami yang penternak kontrak cuma dapat 10 sen,” soal sumber itu di sini, semalam.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan 9 Oktober lalu menyebut, Jemaah Menteri pada 7 Oktober bersetuju supaya pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan dari Oktober hingga Disember 2022 pada kadar RM0.80 sekilogram bagi ayam dan RM0.08 bagi sebiji telur.

Keputusan itu mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada kadar RM9.40/kg dan harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit dikekalkan masing-masing pada kadar 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji di Semenanjung Malaysia.

Ia juga bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos yang berterusan terutama makanan ayam yang meliputi 70 peratus kos pengeluaran selain anak ayam, logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

Sumber berkata, susulan itu pihaknya menerima satu kertas kerja yang didakwa memperincikan jumlah bayaran subsidi ayam kepada pemain industri.

Katanya, dalam kertas kerja itu menyebut bahawa subsidi yang akan disalurkan kepada penternak kontrak cuma 10 sen, yang mana satu jumlah yang ‘sangat tidak masuk akal’.

“Mengambil kira kos yang kami tanggung selaku penternak kontrak, macam mana kami boleh bertahan dengan jumlah sebegini? Sedangkan pemain-pemain gergasi sama ada dalam kalangan penternak persendirian serta integrator pula menerima 80 sen subsidi untuk sekilogram ayam.

“Mereka ini adalah syarikat besar yang stabil, ada kewangan yang kukuh, mereka juga yang membekalkan anak ayam sehari serta makanan ayam kepada penternak kontrak. Sudahlah mereka ini gergasi, diberi pula subsidi yang besar, habis matilah penternak-penternak kecil kalau macam ini,” kata sumber.

Katanya, kerajaan perlu telus dan jujur menyalurkan subsidi, agar tidak menindas kumpulan penternak kecil yang bergelut dengan kenaikan kos.

Utusan Malaysia sudah menghubungi MAFI dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mendapatkan komen, dan masih menunggu maklum balas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN