IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan sedikit gusar terhadap konsep ‘pelbagai budaya’, ‘kepelbagaian’ dan ‘toleransi’ dijadikan alat senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa hari ini.
Titah baginda, masyarakat hidup dalam era saling tidak mempercayai, pemencilan dan nilai-nilai yang berlawanan dengan nilai-nilai Islam.
Baginda bertitah, di negara-negara yang dahulunya disanjung kerana mengamalkan nilai-nilai progresif dan inklusif, gelombang populisma telah menyebarkan kebencian, pergaduhan dan rasa tidak puas hati.
“Golongan minoriti etnik dan agama sering dipersalahkan dan diusir apabila negara melalui zaman sukar atau kepayahan.
“Kesimpulannya, rakyat di serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan mereka,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2022 di sini hari ini.
WCIT dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan tema persidangan kali ini ‘Berkongsi Nilai Kemanusiaan Kita’.
Sultan Nazrin bertitah, perubahan sikap yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya ini merupakan suatu tragedi.
Baginda bertitah, ia suatu tragedi kerana menyemai benih-benih perpecahan di dalam sesebuah negara, yang berkemungkinan memuncak menjadi konflik yang lebih parah, sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian yang saya sebutkan sebelum ini.
“Pada masa yang sama ia sebuah tragedi kerana kitalah yang bakal kerugian apabila kita menolak dan menafikan kepelbagaian budaya.
“Tanpa kepelbagaian budaya, dunia kita menjadi semakin miskin.
“Dengan pelbagai asal usul, pelbagai kepercayaan dan kepelbagaian etnik, begitu banyak yang menguntungkan kita dan begitu banyak yang ‘kita kenali antara satu dengan yang lain’ seperti yang dianjurkan al-Quran ” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Nazrin memuji persidangan WCIT yang telah dianjurkan sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Titah baginda, penganjur berjaya memilih topik yang begitu penting selain bertepatan dengan situasi seluruh umat manusia di serata dunia.
“Saya merasa amat sukacita kerana berpeluang untuk kembali dan menyaksikan sendiri perkembangan pesat yang dialami universiti Islam ini yang dikenali di dalam Bahasa Arab sebagai Jami’ah Azlaniayah.
“Melalui penganjuran persidangan antarabangsa sebegini, universiti ini maju setapak lagi dan berkembang dalam konteks yang lebih global, dan diharapkan dapat terus memacu ke hadapan di masa-masa akan datang ” titah baginda. – UTUSAN