WASHINGTON: Pengasas Meta, Mark Zuckerberg, mengumumkan syarikat media sosial itu akan membelanjakan ratusan bilion dolar untuk membina pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Zuckerberg, pusat data pertama yang dikenali sebagai Prometheus dijangka mula beroperasi pada 2026.
Beliau berkata, salah satu tapak projek itu akan meliputi kawasan hampir sebesar Manhattan, iaitu sekitar 59.1 kilometer persegi.
Meta kini giat melabur dalam pembangunan teknologi yang digelar ‘superintelligence’, iaitu kecerdasan buatan yang dikatakan mampu mengatasi kepintaran manusia paling bijak.
Syarikat itu, yang sebahagian besar keuntungannya datang daripada pengiklanan dalam talian, mencatatkan pendapatan melebihi AS$160 bilion (RM680.5 bilion) pada 2024.
Dalam hantaran di platform media sosial Threads, Zuckerberg berkata, Meta sedang membina beberapa kluster berbilang gigawatt, dan satu kluster bernama Hyperion yang berpotensi mencapai kapasiti sehingga lima gigawatt dalam beberapa tahun akan datang.
“Kami sedang membina lebih banyak kluster titan. Hanya satu daripadanya merangkumi sebahagian besar Manhattan,” katanya.
Beliau memaklumkan, Prometheus akan dibina di New Albany, Ohio, manakala Hyperion akan dibangunkan di Louisiana dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
Menurut agensi berita Reuters, saham Meta meningkat satu peratus susulan pengumuman itu, dan secara keseluruhan naik lebih 20 peratus setakat tahun ini.
Terdapat sekurang-kurangnya 10,000 pusat data di seluruh dunia yang menjadi hos kepada cloud, dengan kebanyakannya terletak di AS, diikuti United Kingdom dan Jerman.
Pusat data yang dikuasakan oleh AI sangat memerlukan tenaga dan air.
Satu kajian menganggarkan pusat ini boleh menggunakan sehingga 1.7 trilion gelen air di seluruh dunia menjelang 2027.










