Sultan Kedah titah budayakan sunah Nabi Muhammad -

Sultan Kedah titah budayakan sunah Nabi Muhammad

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Abdullah Lebai Samah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah, di Alor Setar, hari ini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar semua lapisan masyarakat menghayati sirah kelahiran Rasulullah SAW dengan membudayakan sunah baginda dalam kehidupan.

Selaku Ketua Agama Islam negeri, titah Sultan Sallehuddin, amalan itu akan mendatangkan kelapangan dalam hidup memandangkan ia bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dengan segala yang berkaitan dengan manusia seperti keperluan dan keinginan mereka.

“Sesungguhnya, setiap amalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah relevan pada setiap zaman dan keadaan. 

“Demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri Kedah berterusan sepanjang masa, beta berhasrat agar kita semua menghayati setiap pengajaran dan iktibar daripada kehidupan Rasulullah SAW serta berusaha sedaya upaya tingkah laku agar uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu menjadi amalan dalam hidup kita di masa hadapan,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 1444H/2022M di sini hari ini.

Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul tahun ini kepada tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah, 86, yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah Pondok Bukit Lada di Pokok Sena dan bekas Pengerusi Persatuan Pondok-pondok Kedah.

Sultan Sallehuddin bertitah, Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah yang perlu dijadikan suri teladan di dalam kehidupan seharian. 

“Berpaksikan dengan sifat-sifat terpuji baginda iaitu benar, amanah, fatonah dan tabligh, setiap individu haruslah mengamal dan menghayati sifat-sifat tersebut untuk dilaksanakan dalam menguruskan kehidupan seharian. 

“Dengan amalan sifat-sifat mahmudah ini, ia akan menjadi teras dan nilai utama kepada pembentukan ummah rabbani yang merupakan tonggak kepada kesejahteraan sesebuah negara,” titah baginda.

Titah baginda, tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” merumuskan kerjasama seluruh rakyat dalam menghadapi sebarang krisis dan menyemai pengkayaan nilai, dalam diri setiap individu.

“Konsep ‘Keluarga Malaysia’ dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat pandemik Covid-19. Konsep tersebut jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga, dalam menghadapi situasi yang mencabar. 

 “Tiga teras utama yang digariskan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya