Sudah beli pakaian baharu untuk 'Thambi' sambut Deepavali  -

Sudah beli pakaian baharu untuk ‘Thambi’ sambut Deepavali 

AHLI keluarga kanak-kanak dua tahun yang maut selepas terjatuh dari kerusi bayi tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kepada kanak-kanak lelaki yang maut akibat terjatuh dari kerusi bayi ketika sedang menjamu selera bersama-sama ibu bapanya di sebuah restoran di Taman Sutera di sini, Selasa lalu tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian itu.

Bapa kanak-kanak berusia dua tahun itu memberitahu, sambutan perayaan Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi pasti akan menjadi memori yang sedih buat semua ahli keluarga.

Menurutnya, ahli keluarga juga sudah membelikan pakaian baharu untuk anaknya itu sebagai persiapan menyambut perayaan itu.

“Thambi masih kecil sehingga kami masih lagi menganggapnya sebagai seorang bayi.

“Apa yang berlaku adalah sangat tragis, namun, saya rasa ahli keluarga tidak menyalahkan sesiapa atas insiden yang berlaku kerana tiada siapa menjangka perkara sebegitu akan berlaku,” katanya ketika berucap pada upacara pengebumian kanak-kanak berkenaan di Taman Universiti, Skudai, di sini hari ini.

Terdahulu, seorang ahli keluarga terdekat yang enggan namanya disiarkan memberitahu, mangsa merupakan seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.

“Mangsa merupakan anak tunggal dan dia merupakan seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria. Ketika kejadian mereka sekeluarga sedang makan di restoran.

“Kami sekeluarga berasa sedih dengan kejadian yang tidak dijangka ini,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut juga amat meminati coklat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Fariz Ammar Abdullah dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang, Selasa lalu ketika kanak-kanak itu sedang duduk di kerusi bayi bertindak menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkan dia terjatuh ke belakang.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu bertindak di luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi terjatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

“Bayi lelaki itu kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan dan tidak sedarkan diri. Bapa mangsa kemudian bergegas membawa kanak-kanak itu ke klinik swasta namun dinasihatkan untuk terus ke hospital kerana keadaannya yang serius.

Kanak-kanak itu kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh seorang pegawai perubatan di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya