PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju subsidi harga kawalan telur ayam gred A, B dan C sebanyak tiga sen dinaikkan kepada lapan sen dengan melibatkan tanggungan subsidi kerajaan melebihi RM90 juta sebulan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat mingguan yang berakhir pada pukul 12.20 tengah hari turut bersetuju supaya dasar subsidi ayam bulat sedia ada diteruskan.
“Selesai mesyuarat mingguan Kabinet. Banyak perkara dibincangkan. Alhamdulillah Kabinet bersetuju supaya harga kawalan telur gred A, B dan C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.
“Bagaimanapun, Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian dan terpaksa mengurangkan pengeluaran yang seterusnya menyebabkan bekalan berkurangan.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi supaya subsidi sebanyak tiga sen pada masa ini dinaikkan kepada lapan sen,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, Kabinet juga bersetuju kuota tambahan sementara sebanyak 5,000 metrik tan sebulan diluluskan kepada KPDNHEP bagi meningkatkan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram terutama bagi rangkaian kedai jualan murah Keluarga Malaysia.
Annuar turut memaklumkan sesi pembentangan Bajet 2023 akan dibentang seperti dijadualkan di Parlimen pada pukul 4 petang ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. –UTUSAN