Suami jaga isteri diserang angin ahnas

Suami setia jaga isteri diserang angin ahmar

SAFFIE Mamat membantu isterinya, Siti Zaharah Husain duduk di atas kerusi roda di rumah mereka di Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang suami setia melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan setelah diserang angin ahmar sejak enam tahun lalu. 

Saffie Mamat, 58, dari Kampung Bukit Gemuruh dekat sini juga sanggup membawa Siti Zaharah Husain, 61, ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu demi memastikan keselamatan pasangan hidupnya daripada membiarkan sendirian di rumah. 

Menurut beliau, isterinya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi tiba-tiba diserang angin ahmar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang. 

“Isteri disahkan mengalami angin ahmar setelah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama lima hari. Selepas kejadian itu, dia masih boleh uruskan diri walaupun tahap keupayaannya tidak lagi normal. 

“Namun setelah diserang angin ahmar kali kedua pada Februari tahun lalu, seluruh anggota badan sebelah kiri lumpuh sepenuhnya. Sejak itulah, saya terpaksa membawanya ke tempat kerja dan dia setia menanti atas kerusi roda.

“Walaupun perlu bangun seawal pukul 5 pagi untuk siapkan makanan isteri iaitu sup sayur campuran brokoli, bayam hijau serta bunga kubis dan uruskan isteri terlebih dahulu sebelum bertolak ke mpat kerja, namun saya tidak rasa semuanya sebagai beban,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya,, semuanya dilakukan sebagai rasa tanggungjawab sebagai seorang suami apatah lagi dua anak mereka telah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing.

Saffie yang bekerja sebagai bekerja penyelia di premis tenunan songket berkata, pada setiap bulan dia memperuntukkan kira-kira RM500 untuk kos rawatan isterinya termasuk ubat-ubatan dan berurut. 

“Pendapatan saya cuma RM1,300 sebulan. Pendapatan diperoleh pula hanya cukup menampung perbelanjaan harian memandangkan kos sara hidup mahal sekarang ini, syukurlah bantuan lampin pakai buang diperoleh daripada Perkeso setiap bulan.

“Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban perbelanjaan. Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan yang diterima bermula Ogos baru-baru ini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun milik Siti Zaharah Husain bernombor 113032102724 (Maybank) atau hubungi Saffie Mamat di talian  0199764159. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya