Suami isteri buntu rumah usang sering dimasuki air -

Suami isteri buntu rumah usang sering dimasuki air

JULIANA Hamzah menunjukkan keadaan air yang masih bertakung di ruang tamu rumahnya selepas hujan lebat baru-baru ini di Kampung Sintok Bugis, Kota Kuala Muda di Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri terpaksa merayu bantuan orang ramai untuk membaiki rumah mereka yang sudah usang dan sering dimasuki air setiap kali hujan lebat sejak 14 tahun lalu.

Juliana Hamzah, 36, berkata, kediaman tersebut merupakan rumah pusaka peninggalan keluarga suaminya, Zulkifli Jamaluddin, 46.

Katanya, mereka tinggal di rumah itu bersama lima orang anak yang berusia antara lima hingga 16 tahun.

Menurutnya, dia hanya bekerja sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah manakala suaminya pula mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan di bank, di sini.

“Pendapatan kami suami isteri hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan perbelanjaan persekolahan anak-anak kami sahaja.

“Kini, keadaan bata dinding rumah sudah pecah dan berlubang selain kedudukan rumah di kawasan rendah menyebabkan air mudah masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Sintok Bugis, Kota Kuala Muda, di sini.

Kata Juliana, setiap kali hujan lebat, mereka terpaksa menimba air keluar dan terpaksa duduk di ruang dapur sementara menunggu air kering.

Tambahnya, kadang-kala mereka terpaksa membiarkan sahaja air bertakung sebelum ia kering sendiri kerana sudah terlalu letih untuk mencuci.

“Saya dan suami tidak sanggup melihat anak-anak kami membesar dalam keadaan seperti ini, namun, kami tiada pilihan memandangkan kami belum mampu untuk membaiki rumah ini.

“Saya pernah bertanya kepada tukang rumah mengenai kos untuk menambun tanah dan membina struktur rumah baharu tetapi perbelanjaannya mencecah sehingga puluhan ribu ringgit,” jelasnya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu Juliana boleh menghubunginya di talian 0177806150 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas namanya, 152050575390. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN