SIK: Negara mungkin sudah kerugian mencecah angka berbilion ringgit apabila hasil unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.
Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi. Mineral tersebut boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Perkara itu terbukti apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Jabatan Perhutanan Kedah dan polis baru-baru ini merampas 185 guni disyaki bahan mineral dalam sebuah lori yang keluar dari Hutan Simpan Bukit Enggang.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di laluan menuju ke lokasi aktiviti haram itu, menemukan ada kenderaan berat yang bertutup keluar dan masuk di kawasan itu dengan ada kawasan tertentu diletakkan palang besi.
Kenderaan itu disyaki memunggah hasil nadir bumi keluar dari hutan terbabit sebelum dihantar ke pelabuhan dan kemudian dieksport ke luar negara.
Kegiatan mencuri khazanah tersebut tertakluk di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan dari Hutan Simpanan Kekal atau tanah kerajaan tanpa lesen adalah satu kesalahan.
Beberapa penduduk di kampung berdekatan yang ditemui turut meluahkan rasa curiga dengan aktiviti lori besar termasuk bersaiz 10 tan yang kerap keluar masuk seperti dalam seminggu mungkin dua kali.
Penduduk turut mendakwa mereka pernah melihat dron besar mengelilingi kawasan tersebut dipercayai bagi tujuan pemantauan dan kawalan keselamatan bagi memunggah hasil nadir bumi.
KECURIAN
Cubaan Utusan Malaysia untuk meninjau lokasi yang didakwa berlaku kecurian nadir bumi itu menggunakan dron tidak berhasil kerana peralatan itu hilang isyarat setiap kali menghampiri kawasan itu walaupun masih dalam jarak keupayaan terbang.
Sementara itu, menerusi maklumat diterima, terdapat rumah kongsi yang dibina berhampiran kawasan penerokaan bagi menempatkan pekerja warga asing yang bekerja untuk melombong bahan mineral terbabit.
Difahamkan, setelah bahan mineral yang kelihatan seperti tanah liat itu dikumpulkan dalam jumlah tertentu, ia kemudian dimasukkan ke dalam bekas seperti guni baja sebelum diangkut menggunakan lori ke lokasi seterusnya.
“Jika MB (Menteri Besar) sahkan ada serbuan dan rampasan, maknanya jelas menunjukkan hasil bumi Kedah sedang dijarah sindiket.
“Yang menjadi tanda tanya, tidak pasti sama ada kerajaan negeri atau jabatan berkaitan sedar atau tidak kegiatan terbabit sebelum ini,” soal sumber.
AJAIB
Bagaimanapun, kata sumber itu, jika pihak berkuasa memberi respons tidak sedar, ia sesuatu yang ajaib kerana masyarakat setempat sudah lama mempersoalkan lori bertutup yang kerap keluar masuk dari hutan itu.
“Apatah lagi, lori yang digunakan pula adalah jenis bonded atau bertutup, amat pelik kenderaan seperti itu memasuki kawasan hutan simpan kerana jika mengangkut pokok kayu balak sekali pun lori yang digunakan selalunya adalah jenis terbuka,” kata sumber itu lagi.
Pada 2 Disember 2020, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur bagi meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM60 bilion.
Kata beliau, mineral itu didapati di Sik, UIu Muda di Baling serta sedikit di Lenggong, Perak. Bagaimanapun, syarikat itu hanya dibenarkan untuk meneroka dan mengekstrak sumber mineral tersebut bagi tujuan kajian, bukan untuk tujuan komersial.
Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada kegiatan mencuri hasil nadir bumi yang berlaku itu bagi tujuan pengkomersialan melibatkan syarikat sama atau pihak lain.- UTUSAN










