Selesai segera kelemahan koordinasi jaga sempadan - Utusan Malaysia

Selesai segera kelemahan koordinasi jaga sempadan

PEMANDANGAN kem pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bukit Wang Perah, Wang Kelian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan perlu segera mencari penyelesaian terbaik untuk menjaga keselamatan sempadan negara daripada pelbagai ketirisan akibat kelemahan penguatkuasaan sebagaimana yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kajian dan Strategik Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, laporan tersebut jelas menyentuh kegagalan pelbagai pihak termasuk kelemahan koordinasi antara jabatan bertanggungjawab dalam pe­ngurusan sempadan khususnya di Wang Kelian.

Menurut beliau, antara cadangan yang perlu dilaksanakan ialah segera melakukan penyelenggaraan secara besar-besaran dengan memfokuskan kawasan-kawasan yang terdedah kepada penyeludupan.

Selain itu, menurut beliau, kamera litar tertutup (CCTV) yang bersambung dengan unit di jabatan atau kementerian juga perlu dilaksanakan.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan sangat lemah selain sempadan mudah dibolosi menjadi antara rumusan RCI berhubung kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, pada 2015.

Laporan RCI setebal 184 muka surat berhubung kes berkenaan didedahkan kepada umum menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Menurut laporan itu, sempadan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar ke­selamatan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan di sempadan terbabit.

Kata laporan itu, perkara tersebut disebabkan rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan CCTV di sempadan Wang Kelian, pagar tidak disenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.

Selain itu, kata laporan tersebut, CCTV hanya terdapat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan tetapi kebanyakannya rosak dan tidak berfungsi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN