PETALING JAYA: Menteri Kewangan tampil menjelaskan bahawa penurunan nilai mata wang ringgit ketika ini bukanlah kayu pengukur tunggal menentukan Malaysia sedang dilanda krisis ekonomi.
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, krisis ekonomi hanya akan berlaku apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot secara mendadak, kadar pengangguran dan kebangkrapan meningkat dengan ketara dan seterusnya menurunkan taraf hidup seluruh penduduk negara ini.
Menurut beliau, krisis kewangan pula berlaku apabila sesetengah aset kewangan tiba-tiba kehilangan sebahagian nilainya dalam masa singkat, ini termasuklah kejatuhan nilai pasaran saham dengan mendadak atau kegagalan kerajaan membayar hutang.
“Tapi jika kita lihat buat masa ini, kerajaan tidak pernah gagal membayar hutang dan kini hutang statutori negara adalah sekitar 60 peratus daripada KDNK, lebih rendah berbanding had siling 65 peratus ditetapkan.
“Semua indikator ekonomi menunjukkan perkembangan yang baik, ekonomi negara meningkat bagi tiga suku berturut-turut dengan kadar 3.6 peratus pada suku keempat 2021, 5 peratus pada suku pertama 2022 dan 8.9 peratus pada suku kedua 2022 tahun ini.
“Bagi suku ketiga, ekonomi dijangka terus kukuh malah Bank Dunia baru-baru ini juga meningkatkan unjuran KDNK Malaysia daripada 5.5 peratus kepada 6.4 peratus. Kalau ada krisis, pastinya Bank Dunia tidak kemaskini unjuran lebih tinggi daripada unjuran rasmi kerajaan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya.
EKONOMI
Pada masa sama, katanya, banyak lagi data yang membuktikan ekonomi negara sedang pesat berkembang.
“Contohnya, kadar pengangguran yang terus menurun 12 bulan berturut-turut kepada 3.7 peratus pada Julai 2022 berbanding nilai tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.
“Orang ramai juga terus berbelanja bagi tujuh bulan pertama tahun ini, dengan nilai keseluruhan jualan borong dan runcit adalah lebih RM880 bilion iaitu 19 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Kadar penghunian hotel meningkat sebanyak 53.6 peratus pada suku kedua 2022, jumlah trafik penumpang di lapangan-lapangan terbang negara mencatat 20.25 juta separuh pertama 2022, peningkatan lebih 600 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” jelasnya.
Malah, katanya, situasi ketika ini amat berbeza jika dibandingkan dengan keadaan negara semasa krisis kewangan Asia 1997-1998 serta krisis kewangan global 2008-2009 atau krisis pandemik Covid-19 pada 2020.
“Situasi sekarang bukanlah krisis. Tahu tak, pada 1998, KDNK kita turun 7.4 peratus. Pada 2009, KDNK turun 1.5 peratus dan pada 2020, KDNK turun 5.5 peratus. Itu barulah krisis. Jadi, berpeganglah kepada fakta bukan auta,” katanya.- UTUSAN