PRU15: Wong Tack tanding tiket Bebas lawan Rara  - Utusan Malaysia

PRU15: Wong Tack tanding tiket Bebas lawan Rara 

WONG Tack (duduk) bersama sebahagian penyokongnya di pejabat Parlimen Bentong di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Penyandang Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack membuat keputusan bertanding atas tiket Bebas setelah DAP memilih Young Syefura Othman atau Rara untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau turut mengumumkan keluar DAP selepas merasakan dirinya  dikhianati oleh parti itu.

“DAP sebelum ini mencapai persefahaman antara kami bahawa saya sebagai Pengerusi Himpunan Hijau akan bertanding sebagai calon Parlimen Bentong di bawah tiket DAP.

“Hari ini DAP telah memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini dan dengan itu saya mengumumkan bahawa akan bertanding dalam PRU15 bagi Parlimen Bentong berpaksikan tiket rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Parlimen Bentong di sini hari ini.

Hari ini DAP mengumumkan pencalonan Young Syefura yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari sebagai calon kerusi Parlimen Bentong.

Pada PRU14, Wong Tack merampas kerusi Parlimen Bentong daripada Barisan Nasional (BN) selepas menewaskan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

PRU14 menyaksikan tsunami politik apabila Wong Tack berjaya mendapat 25,716 undi manakala Tiong Lai (23,684 undi) dan calon Pas N. Balasubramaniam (5,706 undi). 

Dalam pada itu Wong Tack berkata, buat masa ini, beliau belum memutuskan logo yang akan digunakan.

Katanya, beliau  juga tidak meletakkan apa-apa strategi selain terus memberikan khidmat kepada rakyat dan bertemu masyarakat akar umbi.

“Saya tekankan bahawa rakyat sendiri yang patut membuat keputusan mengenai masa depan dan nasib mereka, pilihan di tangan kita,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN