PRU15: Anwar sedia potong gaji, elaun jika jadi PM

PRU15: Anwar sedia potong gaji, elaun jika jadi PM

pru15
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan  (PH) itu, perkara tersebut adalah tindakan pertama yang akan dilakukan jika beliau menjadi Perdana Menteri ke-10.

Anwar turut memberi jaminan  pengurangan gaji itu turut melibatkan ahli Kabinet kalangan menteri.

Beliau berkata, perkara itu akan dilakukan kerana memahami keperitan dan kepayahan rakyat yang terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

“Biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin Allah pada 20 hari bulan (November) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.

“Kerana kalau keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak sanggup ambil gaji Perdana Menteri, rakyat hidup susah derita dengan upah yang rendah,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PH di sini semalam.

Menurutnya, pengurangan gaji itu turut melibatkan ahli Kabinet kalangan menteri yang perlu  dikurangkan jauh daripada sekarang.

“Ini dilakukan mengambil kira pemimpin perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Anwar menyifatkan pemimpin yang menggunakan nama kaum dan agama untuk memperlekehkan dan menghina mana-mana kaum termasuk menyatakan DAP komunis dan menolak Perlembagaan sebagai ‘jahat’.

“Sebagai negara yang merdeka, Malaysia tidak boleh membiarkan tokoh-tokoh agama, tokoh kaum atau tokoh parti menghina mana-mana kaum.

“Kalau saya seorang Cina, saya juga rasa luka tapi bezanya saya orang Melayu, saya orang Melayu bangga dengan bahasa saya, bangga dengan budaya saya, patuh dengan prinsip agama saya dan yakin dengan kebenaran risalah Islam.

“Tetapi saya juga merasa luka bila saudara saya dihina, dicerca dan difitnah walaupun dia lain agama dan lain kaum,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN