PETALING JAYA: Sebahagian besar daripada 1.3 juta penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara mungkin terlepas peluang mengundi buat pertama kali dalam pilihan raya umum (PRU) disebabkan memerlukan belanja besar untuk pulang.
Keadaan itu lebih dirasai pelajar yang berada jauh dari kampung terutama berasal dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung atau sebaliknya, serta mereka yang mengundi di Johor tetapi belajar di Pantai Timur atau utara tanah air.
Pelajar dari Sabah yang menuntut di Semenanjung misalnya memerlukan lebih RM1,000 untuk tambang kapal terbang perjalanan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu manakala RM600 haluan dua hala Kuala Lumpur ke Kuching.
Di Semenanjung misalnya, harga tiket bas dari ibu kota ke Pulau Pinang dianggarkan dari RM40 hingga RM50 bagi perjalanan sehala manakala kos bagi pengangkutan rel bermula dari RM70 hingga RM105 untuk ke negeri-negeri di utara tanah air.
Keadaan itu dijangka menjejaskan minat pelajar untuk pulang ke kampung bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRU15 19 November ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf berkata, pihak bertanggungjawab perlu memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah ini terutama parti-parti politik
Selain itu, katanya, IPT boleh mengambil langkah seperti sediakan bas, bekerjasama dengan organisasi berkenaan untuk subsidi kos pengangkutan.
“Sebelum ini ada universiti yang melaksanakan inisiatif seperti itu dan ia boleh dilaksanakan lagi untuk menghantar pelajar-pelajar ini pulang mengundi,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memikirkan langkah memudahkan mahasiswa seluruh negara mengundi yang juga akan meningkatkan peratusan mengundi.
Katanya, antaranya membenarkan undi pos dan meletakkan pusat mengundi di setiap IPT bagi mengelak pelajar mengeluarkan kos pulang yang membebankan mereka.
“Jika ia dilakukan memang bagus sebab ia akan mengurangkan banyak kos seperti tiket penerbangan atau bas yang pelajar perlu beli untuk turun ke tempat mengundi.
“Mereka ini pun baru pulang ke kampus daripada cuti semester, jadi untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing pada 19 November ini, terutama yang duduk jauh dari kampus mereka menghadapi masalah dari segi kos,” katanya.
Ketika ini undi pos atau undi awal hanya dibenarkan untuk warganegara yang berada di luar negara, petugas-petugas media, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut mencadangkan perkara sama iaitu membenarkan mahasiswa melakukan undi pos.
Ini kerana, menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, pelajar mempunyai kekangan untuk keluar mengundi kerana jarak tempat tinggal dan tempat kelahiran jauh sehingga melibatkan kos perbelanjaan untuk pulang mengundi PRU15 yang tinggi.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan pula berkata, SPR perlu mengambil contoh pilihan raya di Amerika Syarikat yang membenarkan pengundian secara fizikal mahupun atas talian bagi diimplikasikan ke PRU15.
Jelasnya, undi pos mampu mengurangkan kehadiran fizikal secara beramai-ramai di satu tempat, ia akan mengelakkan daripada terjadinya penularan Covid-19 semasa PRU15.
“Memang ada faktor-faktor untuk membenarkan mahasiswa melakukan undi pos tetapi jikalau kumpulan tersebut dibenarkan, kumpulan lain juga perlu diberi. Jadi bagi saya, lebih baik SPR beri pilihan kepada rakyat Malaysia untuk memilih cara pengundian.
“Ini kerana undi pos boleh mengurangkan kehadiran secara fizikal, jadi daripada kita tumpukan kepada kumpulan tertentu, sebaiknya SPR membuat satu proses ataupun kajian untuk membuka pilihan itu kepada semua yang mempunyai sebab-sebab tertentu,” katanya. – UTUSAN









