KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu mahu membuat kejutan di Parlimen Marang dan Kuala Nerus dengan menampilkan seorang ustaz profesional dan tokoh korporat sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, calon di Parlimen Marang bakal memberi impak terhadap jumlah undi yang bakal diperoleh oleh kubu kuat Pas itu selama ini.
“Calon yang ditampilkan itu akan membuka mata rakyat bahawa seorang ustaz tidak semestinya perlu memberi ceramah berapi-api yang membakar kebencian.
“Walaupun kita belum tahu siapa calon Pas atau UMNO di Parlimen Marang nanti, namun, calon ustaz ini akan memberi satu saingan yang sengit dan sihat di Marang sebagai alternatif kepada pengundi.
“Begitu juga dengan Parlimen Kuala Nerus, kita akan tampilkan seorang tokoh korporat yang berketrampilan, sesuai dengan penduduk kawasan itu yang kebanyakannya golongan berpendidikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain itu, Raja Kamarul Bahrin memberitahu, PH juga akan meletakkan calon di kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.
Tambahnya, PH Terengganu juga akan mengumumkan manifestonya serentak pada pelancaran jentera PRU15, Sabtu ini.
Pada PRU14, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menang selepas mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi dengan majoriti undi sebanyak 21,954.
Calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat( PKR), Zawawi Sulong pula hilang deposit dalam pertandingan tiga penjuru itu.
Di Parlimen Kuala Nerus pula, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang mewakili Pas ketika itu menang selepas mendapat 37,974 undi menewaskan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad (BN-UMNO) dan Abdullah Muhamad (PH-PKR). –UTUSAN