BATU PAHAT: Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM468,000 akibat diperdaya seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu pejabat Kontijen (IPK) Sabah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya Rabu lalu, mangsa yang berusia 38 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Fairul’ pada 5 Ogos lalu.
Menurutnya, ‘pegawai polis’ itu memaklumkan wanita berkenaan dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebelum menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Terpedaya dengan tawaran itu, wanita berkenaan membuat pemindahan wang sebanyak RM70,000 seperti yang diminta.
“Di samping itu, mangsa juga dikehendaki menyerahkan maklumat perbankan dalam talian kepada pemanggil kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, mangsa hanya menyedari baki simpanannya sebanyak RM398,000 turut dipindahkan menjadikan keseluruhan bayaran yang dibuat RM468,000 tidak dipulangkan semula hingga hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. –UTUSAN