Peniaga sukar dapatkan bekalan telur terutama gred A -

Peniaga sukar dapatkan bekalan telur terutama gred A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Selepas stabil dalam tempoh beberapa bulan, masalah kekurangan bekalan telur ayam kembali melanda negeri ini.

Rata-rata peniaga telur ayam di pasar awam di daerah Timur Laut mendakwa mereka semakin sukar mendapatkan bekalan telur daripada pembekal sejak awal bulan ini.

Seorang peniaga telur ayam di pasar awam, Goh Lye Kim, 55, berkata, sejak awal bulan lalu, dia sukar mendapatkan bekalan telur yang dipesan daripada pembekal terutama telur gred A.

“Selalunya setiap hari saya akan pesan 50 papan telur bagi setiap gred, tetapi sejak awal bulan lalu pembekal hanya dapat bekalkan antara 20 atau 30 papan sahaja bagi setiap gred.

“Gred A yang paling sukar diperoleh, kadang-kadang kita hanya dapat 10 papan sehari sahaja daripada pembekal,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar awam, di sini hari ini.

Menurut Lye Kim, dia sudah terlibat dalam perniagaan telur ayam sejak 20 tahun lalu dan tahun ini merupakan kali pertama dia sukar mendapatkan bekalan penuh yang ditempahnya.

“Dulu saya boleh dapat sehari 100 papan telur, sekarang memang sukar untuk dapatkan bekalan sebegitu lagi daripada pembekal.

“Pembekal beritahu mereka juga sukar penuhi permintaan pengguna kerana bekalan telur kurang, namun permintaan pelanggan meningkat,”katanya.

Tambahnya, kekurangan bekalan telur itu tambah meruncing setiap kali tiba musim perayaan dan bulan ini pula masyarakat India akan menyambut perayaan Deepavali.

”Pelanggan ada merungut kerana mereka sukar dapatkan bekalan, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana bekalan yang saya terima juga terhad.

“Hari ini bekalan telur gred A di gerai saya telah habis sebelum pukul 10 pagi, pelanggan tiada pilihan terpaksa beli telur gred lain selepas pukul 10 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga telur di pasar awam, Lim Kim Huat, 50, berkata, dia berharap masalah kekurangan bekalan telur itu akan segera diatasi memandangkan permintaan pelanggan semakin meningkat. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN