Peniaga rugi RM49,500 jam tangan Rolex hilang - Utusan Malaysia

Peniaga rugi RM49,500 jam tangan Rolex hilang

GAMBAR DARI MEDIA SOSIAL, SEKADAR GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemilik sebuah stesen minyak di daerah ini kerugian kira-kira RM49,500 apabila seutas jam tangan mewah berjenama Rolex miliknya hilang pagi kelmarin.

Kehilangan jam itu disedari lelaki berusia 65 tahun semasa dia berada di rumahnya di kawasan perumahan elit di daerah ini, kira-kira 10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan daripada warga emas terbabit yang mengesyaki jam tangannya dicuri dua lelaki yang datang menghantar perabot dipesannya sehari sebelum itu.

“Semasa dua pekerja perabot itu datang menghantar tilam yang dibeli peniaga itu, hanya isterinya sahaja yang berada di rumah.

“Keesokan harinya, warga emas itu yang juga pemilik sebuah ladang kelapa sawit dan isterinya baru menyedari jam tangan berwarna emas yang diletakkan di atas piano di tepi tangga rumah mereka hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaidy, selepas menerima laporan dan melakukan siasatan, polis menahan dua pekerja kedai perabot itu yang terdiri daripada seorang penduduk tempatan dan seorang warga Bangladesh.

“Suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun manakala warga Bangladesh berusia 51 tahun mempunyai permit kerja yang sah dan mereka merupakan antara pekerja yang lama bekerja di kedai perabot itu.

“Pemeriksaan dijalankan di rumah lelaki tempatan dan di asrama warga Bangladesh itu, namun, tidak menemukan jam berkenaan dan kita masih meneruskan siasatan lanjut,” katanya.

Zaidy berkata, pihaknya kini dalam proses memohon perintah reman untuk membolehkan dua suspek terus ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya