Penduduk Pulau Gadong terkejut dilanda banjir - Utusan Malaysia

Penduduk Pulau Gadong terkejut dilanda banjir

AHSANUL HUSNA Maizir dibantu anaknya mengemas barang-barang yang dapat diselamatkan akibat banjir kilat melanda Kampung Tengah, Pulau Gadong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 100 penduduk di Kampung Tengah, Pulau Gadong dekat sini terkejut apabila rumah mereka dimasuki air akibat banjir kilat ekoran hujan lebat hampir empat jam bermula pukul 5.15 pagi, semalam (Isnin).

Hal ini kerana, sejak berpuluh tahun menetap di kampung berkenaan, ia adalah kali pertama kawasan itu dilanda bah.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang penduduk, Ahsanul Husna Maizir, 50, berkata, air memasuki dapur, ruang tamu dan dua bilik terlalu cepat sehingga dia yang ketika itu sedang memasak inti karipap untuk dijual tidak mampu berbuat apa-apa.

“Habis perkakasan untuk membuat kuih, dapur, karpet, tikar dan beberapa barangan lain rosak. Air naik terlalu cepat hanya sempat selamatkan beberapa barang dibantu tiga anak saya yang ketika itu sedang tidur.

“Ini kali pertama air masuk ke dalam rumah, kerana sebelum ini sekadar di kawasan laman sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Madon, 49, berkata, tiada seorang penduduk pun menjangka bahawa mereka bakal berdepan situasi berkenaan setelah hampir 40 tahun tinggal di situ.

“Dulu masa rumah lama, parit kecil adalah air naik tapi tidak sampai masuk ke dalam rumah tetapi hari ini air naik melebihi paras buku lali di bahagian dapur.

“Mujurlah saya dapat menyelamatkan tiga peti sejuk beku daripada dimasuki air dengan dibantu tiga anak lelaki,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka ekoran bencana tersebut.

Menurutnya, kira-kira 20 keluarga membabitkan 100 penduduk didapati terjejas apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

“Banjir kilat ini berpunca daripada pertembungan air laut pasang dengan air Sungai Malim yang penuh dan menyebabkan pintu kawalan air Pulau Gadong tidak boleh dibuka,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN