PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar RM27 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, penurunan sebanyak RM7.06 bilion atau 21 peratus, berbanding RM34.06 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.
Ia adalah hasil daripada reaksi pasaran terhadap peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi tinggi yang tidak dialami oleh ekonomi utama sejak 1970-an.
Tidak terkecuali daripada impak pasaran global, jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku kedua 2022 adalah RM11.14 bilion, turun sebanyak RM3.63 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2022 pada RM4.88 bilion, merangkumi 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun yang dikaji.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jangkaan pertumbuhan global telah terjejas, seterusnya mencetuskan penjualan berterusan dalam pasaran global.
“Aliran menurun yang konsisten ini telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada portfolio ekuitinya, terutama daripada pasaran global yang telah merosot dalam julat 17 dan 21 peratus dalam separuh pertama 2022.
“Namun, pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza, seperti yang ditetapkan dalam Alokasi Aset Strategik (SAA) telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu di samping melindungi pulangan pelaburan jangka panjangnya,” katanya dalam kenyataan.
Ekuiti persendirian yang merupakan sebahagian daripada kelas aset ekuiti, telah berupaya memberikan pulangan yang sihat sebanyak RM1.15 bilion, peningkatan lebih 100 peratus berbanding RM0.54 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2021.
Sementara itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.20 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang meningkat kepada RM0.33 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset berkenaan.
Pada suku kedua 2022, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 36 peratus daripada jumlah aset pelaburannya, menjana pendapatan sebanyak RM5.51 bilion, mewakili 49 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.
Sejumlah RM1.16 bilion daripada RM11.14 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk simpanan syariah pada suku kedua 2022 dan RM9.98 bilion untuk simpanan konvensional.
“Mengambil kira kesan RM2.15 bilion yang telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada suku kedua 2022 ialah RM8.98 bilion,” jelasnya.
Sehingga Jun 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM957.25 bilion, setelahmengambil kira pengeluaran berkaitan pandemik berjumlah RM44.6 bilion.
Bagaimanapun, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sebanyak RM43.23 bilion setakat Jun 2022 disokong dengan pendapatan daripada
pelaburannya.
Amir Hamzah berkata, prestasi pasaran masih tidak menentu dan walaupun prihatin dengan perkembangan itu, pihaknya mengekalkan pandangan jangka panjang dan mengambil pendekatan seimbang dalam keputusan pelaburan KWSP kerana terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam situasi yang mencabar ini.
“Sebagai dana persaraan, strategi menyeluruh KWSP adalah untuk memberi fokus kepada pelaburan dan pulangan jangka panjang yang mampan. Kami akan mengambil setiap langkah untuk memastikan kewangan kami kekal kukuh dan berdaya tahan terhadap sebarang risiko ketidaktentuan dan cabaran jangka pendek,” ujarnya. – UTUSAN










