Peluang BN menang di Tasek Gelugor semakin cerah

Peluang BN menang di Tasek Gelugor semakin cerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN pergeseran dalam kem Perikatan Nasional (PN) berhubung isu calon di Parlimen Tasek Gelugor hampir pasti tidak boleh dielakkan, peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi itu dilihat semakin mudah.

Sesiapa pun calon diletakkan PN kelak sama ada daripada parti Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), akan menyaksikan perpecahan dalam kalangan penyokong PN.

Ini kerana Pas awal-awal lagi sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi itu ketika Bersatu menegaskan secara tradisinya kerusi tersebut milik parti berkenaan sebagai penyandang.

Pas Tasek Gelugor nampak­nya seperti bertegas mahu meletakkan calon mereka berkemungkinan Yang Dipertuanya, Mohd. Sobri Saleh manakala Bersatu juga difahamkan menyenaraikan calon yang bukan calang-calang apabila nama Ke­tua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan menjadi sebutan.

Bagaimanapun, kesempatan buat BN itu mungkin tidak menjadi kenyataan sekiranya parti tersebut tersilap memilih calon sehingga menyebabkan berlakunya undi protes daripada penyokong mereka.

Ketika ini beberapa nama daripada pemimpin UMNO disebut-sebut sebagai calon di kerusi tersebut dengan tum­puan lebih terarah kepada Ketua Bahagiannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

MUHAMAD YUSOFF MOHD. NOOR

Dari segi latar belakang politik, Muhamad Yusoff tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mempunyai pengalaman dan pencapaian yang panjang dalam UMNO Pulau Pinang khususnya di Parlimen Tasek Gelugor.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang merupakan antara dua ADUN UMNO yang terselamat daripada tsunami politik ketika PRU14 bersama-sama Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan) yang mana kedua-dua DUN itu terletak di Parlimen Tasek Gelugor.

Selain beliau, nama Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim juga disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon BN di kerusi itu.

Meskipun bukan anak tempatan (Bukit Gelugor), namun Norliza boleh dianggap calon ‘heavyweight’ buat khususnya sokongan golongan wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN