ARAU: Usahawan dalam kumpulan B40 yang mengikuti Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) mampu meraih hasil jualan sehingga RM8,000 sebulan menerusi perkhidmatan mesin layan diri ditempatkan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, hasil jualan menerusi mesin layan diri di institusi pengajian itu secara purata adalah sekitar kira-kira RM4,000 sebulan, namun pendapatan usahawan terlibat boleh meningkat sehingga RM8,000 ketika tempoh kemuncak.
Katanya, model perniagaan menggunakan mesin layan diri menyediakan makanan siap dimasak itu terbukti memberi manfaat kepada dua kumpulan sasar melibatkan usahawan berpendapan rendah dan mahasiswa yang memerlukan hidangan berkualiti pada harga berpatutan.
“Kita menerima maklum balas yang sangat baik menerusi inisiatif berkenaan dan makanan yang dijual juga adalah pada harga cukup berpatutan dan perlu ditambah dua hingga tiga kali sehari kerana permintaan tinggi.
“Ini menunjukkan model yang diperkenalkan berjaya menghubungkan usahawan daripada kumpulan B40 dengan mahasiswa yang memerlukan makanan pada harga mampu milik,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Unimap, di sini semalam.
Akmal berkata, hasil pemantauan di lapangan turut menunjukkan program itu mempunyai struktur pelaksanaan jelas dan boleh dijadikan model untuk diperluaskan ke kawasan lain.
Katanya, pencapaian itu turut membuktikan program berkenaan bukan sekadar membantu meningkatkan pendapatan usahawan B40, malah menyediakan akses kepada makanan siap dimasak pada harga munasabah untuk warga kampus.
“Apabila saya memasuki Kementerian Ekonomi, saya berpandangan program yang telah menunjukkan prestasi baik seperti ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan pelaksanaan. Sebab itu, kementerian telah memohon kepada Kementerian Kewangan supaya program ini disambung bagi tempoh berikutnya,” katanya.
Dalam lawatan sama, Akmal turut meninjau pelaksanaan Food Bank dan Dapur Siswa Madani yang turut digerakkan di Unimap.
Katanya, kejayaan inisiatif tersebut juga banyak bergantung kepada kerjasama erat antara pihak universiti, sukarelawan, sektor swasta dan kerajaan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus dipelihara.
“Unimap membuktikan konsep IPR-INSAN ini tidak hanya sesuai dilaksanakan di bandar, malah berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai satu mekanisme bagi meningkatkan pendapatan usahawan B40 di samping mengurangkan kos sara hidup golongan mahasiswa,” katanya. – UTUSAN









