Negeri PH bubar DUN tidak goyahkan pendirian Pas -

Negeri PH bubar DUN tidak goyahkan pendirian Pas

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) merasmikan Karnival KETSA Kota Bharu Prihatin di Platinum Mall, Lembah Sireh Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keputusan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak memberi kesan kepada ketetapan dan pendirian Pas buat masa ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehingga semalam, Pas kekal dengan keputusan untuk tidak membubarkan DUN di tiga buah negeri yang diterajui iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, keputusan itu berkemungkinan akan dibawa sehingga ke akhir penggal pada tahun depan.

“DAP misalnya mahu membubarkan DUN Pulau Pinang kerana yakin akan beroleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Keputusan itu merupakan hak parti tersebut dan kerajaan negeri tertentu. Ia terpulang kepada parti masing-masing. 

“Sehingga semalam, Pas kekal untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang kita terajui, namun, saya tidak boleh kata keputusan itu muktamad kerana sehingga tiba hari penamaan calon. Pendirian itu masih boleh diubah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kota Bharu Prihatin di Platinum Mall di sini hari ini.

Takiyuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu, semua parti politik dan kerajaan negeri pasti telah membuat kajian sebelum memutuskan untuk membubarkan DUN atau sebaliknya.

Katanya, ia merangkumi kajian sama ada pilihan raya berasingan antara Parlimen dan DUN akan menyukarkan rakyat terutamanya di perantauan untuk pulang mengundi atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, beliau belum menerima sebarang arahan daripada parti sama ada untuk kekal di Kota Bharu atau berpindah kawasan.

“Buat masa ini, Parlimen Kota Bharu masih kawasan saya kerana Pas belum memberi arahan untuk bertanding di tempat lain.

“Senarai calon Parlimen Pas sedang dalam proses untuk dimuktamadkan. Kita sedang kumpul senarai berkenaan dan mungkin diselesaikan sebelum mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sama ada terdapat kejutan atau tidak, kena tunggu,” ujarnya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya