Nama besar parti cari kerusi selamat - Utusan Malaysia

Nama besar parti cari kerusi selamat

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November ini, beberapa pemimpin parti politik masih tercari-cari kerusi selamat dengan berpindah kawasan sebagai percaturan untuk menang.

Selepas menilai situasi sema­sa di kawasan yang mereka wa­ki­­li pada PRU14, masing-masing mencari langkah selamat untuk mengekalkan status sebagai wa­kil rakyat dengan bertanding di kerusi lain.

Antaranya Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dua ketua sayap pemuda politik ta­nah air iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Pertukaran kawasan itu se­ba­­­gai percaturan politik parti ma­sing-masing antaranya turut melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad dan Bendahari Kebangsaan Wanita DAP, Yeo Bee Yin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, Wan Fayshal dipercayai tidak bertanding di Parlimen Titiwangsa sebaliknya mahu beralih angin ke salah satu kawasan di Kelantan.

Katanya, gerak kerja pasukan Wan Fayshal telah berjalan di negeri itu, selepas mahu menjadi calon antara tiga parlimen sama ada Rantau Panjang, Ketereh atau Machang.

MELARIKAN DIRI

Kata sumber itu, tindakan Wan Fayshal ‘melarikan diri’ dari Titiwangsa selepas dua nama besar iaitu Barisan Nasional (BN), dikhabarkan akan meletakkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani manakala Khalid Samad mewakili Pakatan Ha­rapan (PH) di situ.

WAN AHMAD FAYSHAL

Dalam pada itu, penyandang Parlimen Gombak, Mohamed Azmin dikatakan tidak mempertahan kerusi tersebut dan menyerahkan kepada ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Menurut sumber, Mohamed Azmin didakwa tidak yakin dengan jentera Bersatu boleh memenangkan beliau sekali gus mencari ‘kerusi selamat’ yang mempunyai jentera lebih kuat seperti Pas.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu dipercayai bakal memilih antara tiga negeri di bawah pentadbiran Pas, iaitu sama ada Kedah, Kelantan atau Terengganu dengan turut mahu menggunakan lambang bulan.

Begitu juga dengan Asyraf Wajdi setelah kalah dua kali masing-masing di Parlimen Tumpat dan Pasir Puteh pada PRU13 dan PRU14, beliau kini dikatakan sedang mengintai peluang di Gerik yang merupakan kubu kuat UMNO.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan tiada calon ‘payung terjun’ di negeri itu kerana tidak mahu mencipta masalah baharu dengan keadaan tersebut.

PERCATURAN

Selain itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Ahmad pula mengikut percaturan ‘bosnya’ itu apabila desas-desus mengatakan nama beliau diletak di Melaka sama ada Parlimen Jasin atau Alor Gajah setelah melihat potensi samar kerusi Kuala Langat yang ditandingi pada PRU14.

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN 

Pada PRU14, Shahril Suffian tewas di kawasan separa bandar di tangan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar dengan majoriti besar iaitu 17,112 undi.

Percaturan selamat juga membabitkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin apabila nama beliau dijangka dipertaruh antara dua kerusi kubu kuat BN iaitu sama Kota Tinggi atau Mersing setelah mencongak prestasi Pasir Gudang ketika PRU14.

Bagi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, nasib beliau samar-samar setelah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu bertanding di Rembau. Meskipun UMNO Seremban mahu Khairy bertanding di situ tetapi beliau dikatakan mahu kerusi selamat dan potensi menang.

Sementara itu, Khalid daripada PH disahkan berpindah kawasan dari Shah Alam ke Titiwangsa yang sebelum ini disandang Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang beralih arah ke Sepang kerana melihat kerusi itu lebih selamat setelah melihat populariti Johari selaku Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa.

Seorang lagi pemimpin PH iaitu Bee Yin dipercayai ‘berhijrah’ dari Parlimen Bakri ke Damansara bagi menggantikan penyandangnya Tony Pua yang menyatakan hasrat tidak bertanding PRU15.

DAP Pahang pula melakukan rombakan antaranya penyandang Bentong, Wong Tack ke Cameron Highlands manakala tempatnya digantikan ADUN Ketari, Young Syefura Othman.

Nama lain pula membabitkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin mahu berpindah dari Hang Tuah Jaya ke Bagan Datuk kerana mahu menewaskan jaguh besar UMNO iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN