GEORGE TOWN: MCA Pulau Pinang meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan sama ada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar ke Bayan Lepas akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ kerajaan negeri seperti projek terowong dasar laut.
Naib Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Francis Goh berkata, ini kerana adalah sesuatu yang mustahil untuk projek LRT itu dimulakan tahun depan seperti yang dimaklumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow baru-baru ini.
“Kami meninjau kawasan-kawasan yang dikatakan akan dijadikan tapak pembinaan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas ini.
“Kami dapati penduduk setempat tidak dimaklumkan atau menerima notis awal mengenai kerja-kerja pembinaan projek LRT ini, jadi, kami hairan bagaimana Ketua Menteri boleh menyatakan projek ini akan dimulakan pada 2023.
“Kami bimbang sekiranya projek LRT ini bakal menjadi satu lagi projek gajah putih kerajaan negeri sama seperti projek terowong dasar laut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA Pulau Pinang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penyelaras MCA Bahagian Jelutong, Jeffrey Ooi.
Pada 20 Julai lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulakan peringkat prakelayakan pelaksanaan komponen LRT Bayan Lepas bagi membolehkan syarikat berminat mengemukakan maklumat masing-masing berhubung pelaksanaan projek tersebut.
Projek LRT Bayan Lepas adalah satu daripada komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan merupakan strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.
Menurut Francis, projek LRT dengan anggaran nilai RM2.8 billion itu dijangka berdepan masalah melibatkan pengambilan tanah dan penempatan semula di sepanjang jajaran LRT berkenaan.
”Di jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas itu, terdapat premis-premis persendirian serta rumah ibadat, jadi, sekiranya pemilik premis ini masih tidak dipanggil berbincang bagaimana projek ini mahu dimulakan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga berasa projek LRT itu dijadikan modal untuk kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).-UTUSAN