PUTRAJAYA: Kira-kira 1.4 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri tidak akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran daripada kekangan kos untuk pulang sekali gus dianggap satu kerugian besar buat negara.
Majoriti dalam kategori umur 18 hingga 20 tahun serta kumpulan 21 hingga 24 tahun terdiri pengundi muda dan pertama kali (kira-kira 1.4 juta) yang sedang menuntut di IPT.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah itu dianggap besar jika dilihat dari sudut tujuan perundangan Undi18 dipinda (Akta Perlembagaan (pindaan) 2019) untuk memberi hak kepada mereka mengundi dalam pilihan raya.
Justeru, beliau mengesyorkan kaedah pengundian pos juga patut diperluaskan kepada kategori pelajar IPT di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sebagaimana kaedah sama seperti pelajar di luar negara boleh digunakan.
“Pelajar yang tidak boleh balik mengundi, layak untuk memohon undi secara pos. Proses dan tatacara pengeluaran kertas undi pos kepada mereka sama seperti yang diguna pakai untuk pelajar luar negara.
“Untuk itu, tata cara terperinci boleh dikaji kerana SPR ada kaedah dan kepakaran untuk melaksanakannya. Prinsipnya sama, iaitu kertas undi pos mereka perlu sampai ke pejabat Pegawai Pengurus yang berkenaan sebelum pukul 5.00 petang pada hari mengundi biasa,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pelaksanaan undi pos tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak termasuk pelajar IPT melainkan kumpulan yang ditakrif mempunyai tugasan mendesak serta perlu berada di tempat kerja pada hari mengundi.
Berdasarkan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, setiap warganegara yang mendaftar sebagai pengundi perlu hadir ke pusat undi untuk mengundi manakala kebenaran mengundi pos terhad kepada pihak-pihak yang diwartakan sahaja.
Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, SPR menyediakan kaedah pengundian awal dan pengundian pos sebagai melaksanakan proses demokrasi bebas dan adil serta memastikan hak mengundi dinikmati rakyat yang tidak dapat hadir mengundi pada hari mengundi (atas sebab-sebab tertentu tidak dapat dielakkan).
Kata beliau, kaedah pengundian awal dan undi pos merupakan satu keistimewaan disediakan SPR melalui perundangan di bawah Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958 dan perincian tatacara diperjelaskan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Beliau berkata, justifikasi utama pelaksanaan undi awal dan undi pos kepada tentera dan polis kerana ia adalah dua cabang pasukan keselamatan bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, keamanan dan ketenteraman awam.
Katanya, dalam konteks dua bidang tanggungjawab tersebut, para anggota mereka perlu berada di dalam kem atau di dalam kawasan bertugas setiap masa.
Bayangkan jika tidak ada kaedah undi awal, kata beliau, anggota-anggota tentera atau polis terpaksa keluar dari kawasan-kawasan bertugas untuk keluar mengundi di pusat-pusat mengundi di mana namanya didaftarkan dalam kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Andai kata masalah yang tidak diingini berlaku pada hari mengundi, hal-hal yang mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, mengundang masalah besar kepada keselamatan negara dan rakyat.
“Namun, dengan adanya kaedah pengundian awal untuk anggota-anggota keselamatan, apa sahaja masalah yang berlaku pada Hari Mengundi, yang pasti, aspek keselamatan dan keamanan negara serta aspek ketenteraman awam terjaga dan terkawal.
“Undi awal dan undi pos merupakan dua keistimewaan yang disediakan SPR dalam menguruskan pilihan raya bagi memastikan hak rakyat untuk mengundi memilih perwakilan dan kerajaan terjamin,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, SPR boleh melaksanakan pembukaan pusat pembuangan undi di kampus bagi memudahkan pengundi di IPT menunaikan kewajipan mereka tanpa mengeluarkan kos yang banyak.
Beliau berkata, mereka tidak perlu pulang ke tempat pengundian malah pengurusan IPT tidak perlu mengurus untuk menghantar dan mengambil pelajar.
“Langkah ini akan menjimatkan kos kepada IPT dan pelajar. Cuma pembukaan pusat pembuangan undi ini perlu ada persediaan yang rapi.
“Sebagai contoh, kalau SPR nak melantik petugas sambilan daripada pegawai universiti, pegawai universiti ini perlu diberikan kemudahan undi awal,” katanya. – UTUSAN










