Lombong haram macam kubu perang

Lombong haram macam kubu perang

SALIRAN panjang yang bersambung dengan anak sungai dipercayai sebahagian daripada proses pengekstrakan mineral di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Tapak perlombongan haram unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang digali pihak tertentu dipercayai sindiket bagi mencuri hasil mineral itu di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini tidak ubah seperti kubu perang.

Tinjauan udara oleh Utusan Malaysia ke puncak bukit itu mendapati terdapat sebuah khemah di lokasi itu dipercayai berfungsi sebagai tempat mengurus kegiatan haram terbabit.

Melalui pemerhatian itu, terdapat satu saliran panjang dari khemah terbabit menghala ke kawasan lebih rendah sehingga menghubungkan sebatang anak sungai dipercayai sebahagian daripada proses mengekstrak hasil mineral tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kaedah pengeluaran yang dilakukan pihak terbabit memandangkan keseluruhan bahagian tertutup. Namun, kelihatan sebuah kolam kecil turut dikorek berhampirannya.

Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya empat ke lima rumah kongsi turut dibina di sekitar kawasan perlombongan dipercayai bagi menempatkan sekumpulan pekerja warga asing yang melakukan kerja-kerja pengekstrakan mineral terbabit.

Kelmarin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat menyebut, seorang lelaki warga China ditahan di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang bersama beberapa mineral disyaki REE yang dicuri pada 28 September lalu.

Namun, timbul persoalan mengapa hanya seorang suspek yang ditahan di kawasan itu sehingga kini sedangkan kerja-kerja melombong mineral terbabit walaupun menggunakan peralatan atau teknologi terkini, amat mustahil untuk dilakukan secara berseorangan.

Ekoran itu, berdasarkan maklumat diterima juga tidak mustahil masih terdapat ahli sindiket atau para pekerja di tapak perlombongan terbabit bersembunyi di sekitar hutan tersebut kerana mereka dikatakan bertempiaran lari ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia untuk meninjau mela­lui laluan darat tidak berhasil apabila terdapat pagar yang me­nempatkan ladang solar di kaki bukit berkenaan dikawal seorang pengawal keselamatan.

Disebabkan memikirkan faktor keselamatan cubaan masuk ke puncak bukit dibatalkan dan berpatah balik ke Kampung Su­ngai Senang, di sini.

Malah, difahamkan kawasan yang telah disita Jabatan Perhutanan Negeri Kedah itu memiliki sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi pagar lain dan palang besi sebelum sampai ke puncak bukit berkenaan.

Namun, ketika berada di kawasan penempatan penduduk yang terletak di laluan utama ke puncak bukit itu, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik persendirian dipercayai turun dari kawasan perlombongan itu.

Penduduk mengesahkan ke­reta itu bukan milik penduduk kampung dan mereka mendakwa dia mungkin daripada sindiket yang mencuri mineral tersebut selain mempersoalkan bagaimana boleh memasuki kawasan yang telah disita.

Pada 3 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan negara mungkin sudah kerugian mencecah angka ber­bilion ringgit apabila hasil REE bernilai tinggi di Hutan Simpan Bukit Enggang dicuri pihak ter­tentu sejak dua tahun lalu.

Perkara itu terbukti apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan polis baru-baru ini me­rampas 185 guni disyaki bahan mineral dalam lori yang keluar dari hutan simpan berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid kesal dengan aktiviti itu kerana bahan mineral adalah hasil kha­zanah negara yang bernilai tinggi.

“Sepatutnya hasil bumi ini bermanfaat kepada rakyat tetapi sekarang ia menjadi sesuatu yang hanya orang terlibat. Sudah tentu aktiviti ini salah dari segi undang-undang, jadi bagaimana kegiatan sebegini besar boleh berlaku dalam tempoh yang agak lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN