Lokasi lombong diserbu, bahan mineral dirampas - Utusan Malaysia

Lokasi lombong diserbu, bahan mineral dirampas

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan lokasi dipercayai tapak perlombongan unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Sanusi berkata, serbuan tersebut membawa kepada rampasan 185 guni bahan mineral tersebut dalam sebuah lori yang diambil secara haram di hutan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mineral yang dirampas itu merupakan REE atau bahan lain kerana proses kajian dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan.

“(Saya) dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Sik ada serbuan oleh polis, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang merampas 185 guni bahan dalam sebuah lori.

“Sama ada REE atau bukan REE, ia belum dapat dipastikan lagi bahan itu tetapi mineral lah yang diambil secara haram dari Bukit Enggang. Tangkapan sudah dibuat, siasatan sedang dijalankan, saya serah kepada pihak berkuasa untuk membuat pendakwaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

MENEROKA

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengesahkan hanya lesen menjelajah atau mene­roka seperti yang di­umumkan beliau dua tahun lalu kepada sebuah syarikat dikeluarkan dan tidak ada permit lain diberikan buat masa ini.

“Setakat ini baru satu sahaja ada kelulusan (lesen) itu dan kalau pun ia REE ada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa).

“Saya ingin pesan kepada pihak-pihak yang berhasrat untuk teroka atau cari gali apa-apa bahan mineral di Kedah untuk kemukakan permohonan secara sah kepada pihak berkuasa iaitu pejabat tanah di daerah masing-masing untuk diangkat ke jawatankuasa mi­neral, kemudian kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja cari gali atau jelajah hanya dibenarkan selepas mendapat kelulusan tersebut selain tertakluk kepada kaedah perlombongan secara terbuka yang terhad di hutan simpanan kekal (HSK).

“Kita juga tidak benarkan (kerja-kerja melombong) kecuali dengan kaedah-kaedah yang dibenarkan mengikut laporan Impak Alam Sekeliling (EIA) dan jabatan perhutanan iaitu yang tidak mencemarkan hutan simpan (barulah) boleh dibenarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN