KAWASAN Parlimen Lembah Pantai bukanlah kerusi straight forward yang boleh pilih dan letak calon melulu begitu sahaja.
Dalam saingan pilihan raya umum lepas, orang luar pun masuk campur untuk pastikan kemenangan calon parti mereka.
Bukan itu sahaja, Channel NewsAsia (CNA), Bloomberg, bahkan CNN pun ikut minat sama melapor saingan calon parti di situ.
PESAING
Pernah pada kempen Mei 2018, dua pesaing, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Nurul Izzah Anwar yang pergi ke pasar malam pun media mereka ikut. Kerana Bangsar sering dipenuhi rakyat asing yang gemar beli belah, lepak minum santai di situ, lantas mengundang tarikan laporan media asing.
Menang di Lembah Pantai ibarat menang di Pennsylvania atau Florida yang menjadi battleground states pemilihan presiden Amerika Syarikat – parti yang memiliki Lembah Pantai petanda perintah Malaysia.
Pengundinya menggambarkan populasi negara ini, 60% Melayu, Cina (20%) dan India (15%). Lapisan masyarakatnya mewakili B40 Melayunya di Pantai Dalam dan Kerinchi; Cinanya di Taman Sri Sentosa dan India di Pantai Dalam dan Sentosa.
Kategori M40 tidak kurang ramai profesionalnya sehingga paling atas mendiami Pantai Hillpark. Profesional banyak bekerja di syarikat milik kerajaan (GLC) meliputi TNB, Telekom dan KTM, dengan majoritinya dikatakan menyokong BN.
Demikian juga rentak undi di PDM Tasik Perdana yang pengundi awal dari kalangan anggota keselamatan.
INTEGRITI
Pengundi di Lembah Pantai lebih terbuka dan peka soal-soal integriti dan khidmat wakil rakyatnya. Lagipun pengundinya lebih senang kalau mereka dijaga wakil bertaraf menteri.
Cuma nasib tidak menyebelahi Raja Nong Chik tempoh hari yang ‘tersangkut’ akibat gelombang 1MDB dan fitnah pembohongan pesaingnya.
Dengan Tampin lebih mahukan Datuk Shaziman Abu Mansor sebagai calon; Kuala Pilah pula diminati ketua bahagiannya yang sudah lama menjadi ADUN selain kerusi Sungai Buloh dan Port Dickson tidak ketahuan rentak undinya, maka Lembah Pantai satu-satunya untuk menjadi kerusi ‘eksperimen boleh menang’ buat Khairy.
Untuk berdepan penyandangnya, Fahmi Fadzil yang pandai bawa diri di Lembah Pantai, BN memerlukan winnable candidate seperti Khairy, yang sudah dikenali sebagai menteri kesihatan yang kompeten sewaktu melawan pandemik Covid-19.
Jentera BN tidak perlu bekerja keras sangat untuk promosikan beliau kerana Khairy disenangi masyarakat berbilang kaum. Jika Bangsar Baru, Bukit Travers dan Taman Sri Sentosa liat ditembusi BN semasa PRU14, peluang kali ini agak cerah dengan imej dan aura Khairy.
JURANG
‘Menyenangkan’ Khairy lagi, Lembah Pantai merupakan kerusi yang mencatat jurang kekalahan undi BN kedua terendah selepas Titiwangsa (4,139) iaitu 5,598 undi, berbanding kerusi-kerusi Parlimen lain dalam Wilayah Persekutuan yang rekod majoriti disapu pembangkang mencapai puluhan ribu undi.
Lebih selesa lagi, kepimpinan bahagian cenderung kepada Khairy, malah pada 2018 memberi sokongan kepadanya dalam saingan merebut jawatan Presiden UMNO, di tangga kedua mengetepikanTengku Razaleigh Hamzah di kedudukan ketiga.
Dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Lembah Pantai sekarang, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz juga ‘orang KJ’.
Jika benar Lembah Pantai dimuktamadkan BN untuk Khairy, Fahmi nampaknya perlu bekerja keras kali ini kerana rating terbaharu ke pentas podium kini menjadi 50-50. – UTUSAN










