SEREMBAN: Nama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dikatakan tiada dalam senarai bakal calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di kawasan Parlimen di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut sumber, ia selepas beberapa kawasan Parlimen yang disebut-sebut akan ditandingi Khairy sebelum ini seperti di Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson menyaksikan ia bakal ditandingi bakal calon lain.
Sementara itu, kata sumber tersebut, tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri ini selain ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan ‘dinaikkan pangkat’ untuk bertanding di peringkat Parlimen.
Mereka ialah ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Pilah; ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli di Jempol dan ADUN Gemas, Datuk Abd. Razak Ab. Said di Parlimen Tampin.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seperti dijangka akan menandingi kerusi Parlimen Rembau.
Penyandang Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula dijangka terus menjadi calon bagi mempertahan kerusi tersebut.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan pula disebut-sebut akan mencuba nasib di Parlimen Port Dickson yang merupakan kerusi tradisi buat MIC.
Sementara itu, semalam turut tular senarai nama yang dikatakan akan menjadi calon BN di kelapan-lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.
Menerusi senarai itu, turut dinyatakan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon menjadi calon di Parlimen Seremban manakala Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam pula calon yang bakal dipertaruhkan di Parlimen Rasah. – UTUSAN










