Kerusi Muar tentukan maruah Muda - Utusan Malaysia

Kerusi Muar tentukan maruah Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERUSI Parlimen Muar memang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).

Walaupun parti-parti politik belum mengumumkan calon masing-masing, namun Muda dikhabarkan akan mengekalkan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mempertahankan kerusi tunggal parti itu.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga pasti meletakkan calon masing-masing untuk merampas kerusi tersebut.

Gabungan Tanah Air (GTA) yang dipimpin sifu Syed Saddiq suatu masa dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut dijangka meletakkan calonnya pada PRU15.

Namun, pemerhati politik melihat ‘pertembungan sebenar’ akan melibatkan Muda yang kini menyertai Pakatan Harapan (PH), BN dan PN.

BN bertekad untuk merampas semula kerusi tersebut, manakala Bersatu yang mengepalai PN juga ingin ‘menuntut’ kerusi berkenaan yang dimenangi Syed Saddiq yang bernaung di bawah parti itu pada PRU14.

Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Oktober lalu memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana parti Bersatu berjumlah RM1.12 juta, namun pe­ngasas parti Muda itu dijangka terus diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Muar.

MARUAH

Ini kerana kerusi Parlimen Muar dianggap sebagai ‘maruah dan masa depan’ Muda dalam arena politik tanah air.

Andai Muda mampu mempertahankan kerusi tersebut, parti yang boleh dianggap ‘baru setahun jagung’ dalam pentas politik akan dapat mengharu­ngi lebih banyak badai selepas ini. Tetapi jika kecundang pada PRU15, Muda dikhuatiri akan berkubur.

Dalam misi besarnya, BN dijangka turut meletakkan calon muda. Nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latif disebut-sebut mampu menggalas cabaran berkenaan.

Malah, sosok pemimpin muda tersebut mudah didekati dan mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pe­ringkat masyarakat, termasuk golongan muda.

Selain nama Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang tewas kepada Syed Saddiq pada PRU14 mungkin dipertimbangkan sekali lagi, kedengaran juga nama Pegawai Daerah Muar, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin turut disenaraikan untuk pertimbangan BN bagi kerusi tersebut.

Cakap-cakap politik kedenga­ran sekiranya BN menampil calon baharu yang disenangi, peluang untuk merampas semu­la Parlimen Muar lebih cerah.

Bagaimanapun, PN dan GTA masih ‘berahsia’ siapa calon yang bakal ditampilkan di kawasan berkenaan.
Sekiranya berlaku pertembungan empat penjuru, kelebihan dijangka memihak kepada BN ataupun PH yang diwakili Muda.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN